SHAH ALAM - Mengharungi siri jelajah Asia ketika Ramadan tidak menghalang pemain Chelsea yang beragama Islam, Demba Ba berpuasa.
Walaupun berpuasa, Demba Ba, yang berasal dari Sevres, Perancis tetap bertenaga sewaktu menjalani latihan keras di bawah bos baharu Chelsea, Jose Mourinho seperti rakan sepasukannya yang lain pada sesi latihan di Stadium Shah Alam, semalam.
Penganjur Jelajah Asia kelab itu berkata, pemain berusia 28 itu tetap berpuasa walaupun terpaksa menjalani latihan lebih dua jam pada sesi sebelah pagi dan petang ketika mereka berada di Thailand pertengahan minggu ini serta di Malaysia sejak Khamis lalu.
Ketika latihan di Bangkok pertengahan minggu lalu, Ba dikatakan menolak dengan secara baik sebotol air mineral yang dihulurkan kepadanya oleh pegawai pasukan tersebut kerana khuatir dia mengalami kekurangan air dalam badan.
"Semuanya berjalan lancar, ia bukan terlalu sukar buat saya," kata Ba selepas ditanya oleh media mengenai keadaannya yang perlu berlatih dan bermain dalam bulan Ramadan ketika di Thailand dan Malaysia.
Ba, yang beraksi di posisi penyerang juga memuji semua kemudahan serta suasana di Malaysia termasuk hotel penginapan mereka dan berharap perlawanan menentang skuad kebangsaan hari ini berlangsung dengan hebat.
"Saya dan para pemain perlu berada dalam keadaan fizikal yang baik menjelang perlawanan esok (hari ini).
"Siri jelajah pramusim ini memang berguna dan peminat kami di Asia Tenggara semuanya sangat baik," kata bekas pemain West Ham United dan Newcastle United itu.
Pemain yang mewakili Senegal sebanyak 17 kali itu terkenal dengan aksi sujud ketika meraikan jaringan baik bersama Newcastle dan Chelsea. Dia pernah mendapat gelaran pemain terbaik EPL Disember 2011. -Utusan
KONGSI
& Komentar
Tweet