Saturday 30 November 2013

Tuan Guru Nik Aziz tak restui pertemuan antara MB Kelantan dengan DS Najib?

Posted By: TTO Admin - 30.11.13

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan pertemuan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai satu pertemuan yang tidak dijangka.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata, sepanjang lebih 20 tahun beliau menerajui negeri ini, tiada pertemuan rasmi seumpama itu diaturkan.

“23 tahun baru boleh jumpa, payahnya menteri besar pembangkang nak jumpa perdana menteri, saya tidak tahu apa yang menyebabkan (perdana menteri) buka pintu.

“Insya-ALLAH, kita minta doa minta Allah buka pintu hati jangan menjadi syaitan merosakkan hati manusia, ingatkan syurga dan neraka, ingat apa yang kita buat apa sahaja akan mendapat balasan,” katanya semasa kuliah Mingguan di Dataran Ilmu semalam.

Pertemuan Ahmad berserta dua Exco Kerajaan Negeri, Datuk Hanifa Ahmad dan Datuk Dr Fadzli Hassan bersama Najib di Perdana Putra dianggap bersejarah kerana ia tidak berlaku di bawah pimpinan Nik Aziz.

Lebih menarik perhatian umum, pertemuan dua kerajaan itu diadakan sewaktu pimpinan Pas dan Umno masing-masing menyatakan kesediaan untuk mengadakan muzakarah.

Bagaimanapun, satu kenyataan dikeluarkan semalam menyebut pertemuan itu tidak membincangkan soal kerjasama politik, sebaliknya lebih memfokuskan isu infrastruktur negeri termasuk royalti minyak dan pelaksanaan hudud.

Difahamkan pertemuan itu dirancang selepas Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu, namun tidak dapat dilakukan kerana jadual Perdana Menteri yang padat. -Sinar Harian

24 Gambar Proton Persona SV baru, harga serendah RM44,938

Posted By: TTO Admin - 30.11.13

SHAH ALAM: Proton Holdings Bhd hari ini melancarkan Proton Persona Super Value (SV) selepas mendapat maklum balas positif daripada pengguna Malaysia terhadap model Proton Saga Super Value yang dilancarkan Jun lepas.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Lukman Ibrahim yang melancarkan model itu berkata untuk bersaing dengan pengeluar kereta lain, Persona SV menawarkan lebih banyak nilai tambah bagi setiap ringgit yang dibelanjakan pembeli.

Beliau berkata demikian pada pelancaran model itu sempena Karnival Pandu Uji Mega Bola! Bola! Bola! Proton selama dua hari di kawasan parkir Stadium Shah Alam di sini.

Persona SV masih menggunakan enjin 1.6 liter Campro AIFM, namun ia kini dilengkapi brek cakera depan belakang, dua beg udara untuk keselamatan, cermin sisi bersekali lampu isyarat, sistem brek anti kekunci (ABS) dan dan pengagihan daya kuasa brek elektronik (EBD) bagi meningkatkan keselamatan pemanduan, katanya.

Model ini juga dilengkapi rim aloi 15 inci dan didatangkan dalam tujuh warna iaitu putih, hitam (tranquility black), gangsa (bronze garnet), perak (genetic silver), merah api (fire red), hijau (chiffon green), dan biru Atlantik (Atlantic Blue).

Beliau juga berkata jaminan untuk model ini sama seperti model Persona sebelum ini iaitu selama dua tahun atau 50,000 km.

Persona SV ditawarkan pada harga serendah RM44,938 seunit sehingga RM50,388, bergantung kepada warna, lokasi jualan dan sistem transmisi, berbanding model Persona sebelum ini yang dijual antara RM47,000 dan RM51,150.

Lukman berkata pengeluaran model Persona SV ini dibuat sempena kejayaan Proton mengeluarkan lebih setengah juta unit model Persona sejak dilancarkan pada 2007.

Ketua Pegawai Operasi (Komersil) Proton, Hisham Othman pula berkata Proton menyasarkan 2,400 unit Persona SV sebulan.

"Kami percaya kami boleh mencapai sasaran ini malah lebih lagi seperti yang dialami dalam penjualan Saga SV," katanya.

Lukman berkata setakat ini tempahan bagi model Saga SV mencecah 42,000 dan hampir 30,000 unit telah dihantar kepada pelanggan manakala jualan bagi model Saga, termasuk SV sebanyak 78,000 unit sebulan.

Beliau juga berkata model baharu Proton dijangka menemui pengguna di Malaysia pada suku pertama tahun depan, namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Mengenai Karnival Pandu Uji yang bermula hari ini, beliau berkata ia merupakan antara strategi Proton untuk menarik pembeli kereta masa kini yang semakin berpengetahuan mengenai kereta dan memerlukan pengalaman memandu uji sesebuah kereta sebelum membuat keputusan pembelian.

Bagi tujuan itu, beliau berkata Proton menyediakan 79 kereta daripada model Suprima S, Preve, Saga, Satria Neo dan Inspira.

Proton turut menawarkan diskaun sehingga 15 peratus untuk pembelian model terpilih sempena karnival itu. - BERNAMA









 


 






Gambar-Paultan.org

Friday 29 November 2013

Kes bunuh Pegawai JAIP selesai, temui pistol & tangkap 13 ahli Kump Tuhan Harun- KPN

Posted By: TTO Admin - 29.11.13


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam akaun rasmi twitter beliau mengucapkan syabas kepada Pasukan Op Cantas (STAFOC) Bukit Aman atas kejayaan menyelesaikan kes bunuh Penguatkuasa JAIP. 

Seramai 13 orang daripada kumpulan Tuhan Harun ditangkap dan pistol telah dirampas. Tahniah PDRM!

Mohd Fahmi nafi rogol, dakwa bekas isteri jalin hubungan lelaki lain

Posted By: TTO Admin - 29.11.13
Fahmi dan bekas isteri, Nor Fazira
KULIM – Mohd Fahmi Mohamed Alias, 20, menafikan dakwaan bahawa dia telah merogol Nor Fazira Saad dan mengahwininya untuk mengelakkan diri daripada didakwa.

“Kami hanya mengadakan hubungan seks selepas berkahwin,” katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Nagalilit dekat sini.

Dia mendakwa isterinya menjalin hubungan sulit dengan seorang lelaki dari Kuala Ketil, tiga atau empat bulan sebelum dia menyedarinya.

“Rakan-rakan saya yang ada di sana melihat dia (Nor Fazira Saad) begitu mesra dengan seorang lelaki. Dia mengenali lelaki itu ketika bekerja di pekan Padang Serai (dalam daerah Kulim).

“Kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, saya membuat keputusan untuk menceraikannya,” kata Mohd Fahmi.

Mohd Fahmi menceraikan Nor Fazira dengan talak satu.

Dia berkata, mereka merupakan pasangan bahagia sebelum lelaki itu mengganggu rumah tangga mereka.

“Dia amat biadap terhadap ibu bapa saya dan tidak pernah memasak.

“Dia akan lari dari rumah setiap kali dia tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara,” kata Mohd Fahmi.

Ibu Mohd Fahmi yang enggan namanya didedah berkata, turut menyangkal dakwaan Nor Fazira tidak diberi makan.

“Kami menjaganya dengan baik dan menerimanya walaupun dia berperangai jahat,” katanya.

Mohd Fahmi yang bekerja di ladang kelapa sawit menerima gaji RM1,000 sebulan. Dia berhenti sekolah ketika berumur 16 tahun untuk bekerja. Dia mendakwa bertemu Nor Fazira dua bulan sebelum perkahwinan mereka, November tahun lalu.

“Pada mulanya hubungan kami tidak ubah seperti hubungan adik beradik tetapi perasaan cinta mula wujud selepas itu,” kata Mohd Fahmi. - mStar

Remaja 12 thn bercerai dakwa dirogol bekas suami dan 2 rakan sebelum kahwin

Posted By: TTO Admin - 29.11.13
Bukti: Saad menunjukkan laporan polis yang dibuat oleh anak perempuannya di rumah mereka di Kampung Padang Cina, Kulim, Kedah.
KULIM: Mereka masing-masing berusia 12 dan 19 tahun ketika disatukan seperti pasangan yang lain pada November tahun lalu.

Namun apa yang mereka impikan terhenti di tengah jalan.

Mereka kini telah bercerai ekoran dakwaan bahawa remaja lelaki itu bersama dua rakannya telah merogol remaja perempuan terbabit, empat bulan sebelum tarikh perkahwinan mereka.

Nor Fazira Saad membuat laporan polis di balai polis Kulim pada 15 Julai tahun lalu, mendakwa dia dirogol oleh dua remaja diikuti rakan mereka iaitu bakal suaminya, Mohd Fahmi Mohamed Alias.

Bapa Nor Fazira, Saad Mustafa, 44, pada Khamis berkata ibu bapa Fahmi sentiasa datang ke rumahnya merayu supaya menarik balik laporan polis tersebut dengan mengatakan hukuman 20 tahun dengan sebatan amat keterlaluan terhadap anak mereka.

"Mereka merayu kepada saya selama lima malam berturut-turut sehingga saya membuat keputusan untuk menarik balik laporan polis tersebut enam hari kemudian ... sebagai seorang bapa, saya memahami perasaan mereka yang prihatin terhadap anak mereka itu," kata Saad.

Saad juga berkata, dia hanya bersetuju anak perempuannya itu berkahwin dengan Mohd Fahmi kerana dia telah dirogol.

"Apabila saya menarik balik laporan itu, anggota polis bertugas bertanya kepada saya sama ada saya telah dibayar untuk berbuat demikian.

"Saya bukan orang seperti itu. Ia seperti melacurkan anak perempuan saya sendiri," katanya.

Saad berkata, kedua-dua keluarga bersetuju mengatur perkahwinan selepas mendapat kebenaran daripada Mahkamah Syariah Kulim pada 7 November memandangkan anak perempuan saya masih dibawah umur.

Perkahwinan mereka diadakan di masjid Kampung Padang Cina, dekat rumah keluarga pengantin perempuan, 10 hari kemudian.


Saad berkata keluarga Mohd Fahmi berjanji untuk membenarkan anak perempuannya meneruskan persekolahannya, tetapi sebaliknya berlaku.

"Anak perempuan saya memberitahu niatnya untuk bercerai sekitar bulan Oktober lalu selepas dia tidak lagi tahan dengan sikap mertuanya itu," katanya.

Saad mendakwa Nor Fazira sering ditampar dan dipukul malah tidak diberi makan, menyebabkan dia terpaksa berulang-alik dari Kulim ke Padang Serai, kira-kira 20km, setiap hari untuk menghantar makanan kepadanya.

Menurutnya, Nor Fazira kini tinggal bersama saudara mereka di Kuala Lumpur.

Di bawah undang-undang Syariah Malaysia, remaja perempuan di bawah umur 16 tahun dan remaja lelaki di bawah umur 18 tahun perlu mendapat kebenaran daripada Mahkamah Syariah untuk berkahwin.

Pada 22 November tahun lalu, Saad dipetik dalam akhbar The Star sebagai berkata, dia bersetuju untuk mengahwinkan pasangan remaja itu kerana tidak mahu mereka melakukan perkara tidak elok.

Anak perempuannya berhenti sekolah selepas tamat peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Mohd Fahmi kemudiannya membantu bapanya menguruskan perniagaan pengangkutan minyak sawit milik keluarga itu.

Saad berkata, dia berfikir panjang mengenai perkahwinan anak perempuannya dan tanggungjawab yang perlu dipikul selepas dia (Nor Fazira) berkahwin.

"Adalah lebih baik mereka berkahwin daripada melakukan perkara yang tak elok," katanya.

Sementara itu, jurucakap ibu pejabat balai polis Kulim berkata, sesiapa saja boleh menarik balik laporan mereka.

Namun, ia mesti mendapat kelulusan daripada Jabatan Siasatan Jenayah dan Timbalan Pendakwa Raya.

Beliau enggan mengulas mengenai kes Nor Fazira.

Thursday 28 November 2013

Senarai 8 Wanita muslim yang cantik dan terkaya di dunia

Posted By: TTO Admin - 28.11.13

Jarang sekali kita mendengar wanita islam yang rupawan dan memiliki harta kekayaaan yang banyak. 

Dipetik daripada daily.bhaskar.com, dibawah merupakan senarai 8 wanita Islam yang memiliki wajah yang cantik serta kekayaan yang dimiliki. Malah, Permaisuri kepada Sultan Terengganu turut termasuk dalam senarai tersebut. Sudah tentu ramai yang tidak mengetahuinya. Jom ikut senarai dibawah:


1. Hajah Majeedah Nuurul Bulqiah


Yang Mulia Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bulqiah adalah puteri kedua sekaligus anak keempat dari Sultan Brunei Darussalam, Hassanal Bolkiah yang lahir pada 16 March 1976 (37). Kini perempuan satu putera ini telah menikah dengan Khairul Khalil, seorang pengarah dan bekerja dibawah pejabat Perdana Menteri.

Majeedah dan Khalil rasmi menikah pada Jun 2007. Ayah Majeedah, Bolkiah adalah orang terkaya di dunia pada tahun 1997 dan amat meminati barangan daripada emas yang berharga.


2. Lalla Salma


Yang Mulia Putri Lalla Salma adalah istri dari Raja Mohammed VI. Salma lahir pada 10 Mei 1978 (35) dari ayahnya yang seorang guru sekolah. Beliau merupakan Permaisuri Maroko serta seorang ibu kepada dua orang anak. Salma dilihat seorang permaisuri yang amat peramah walaupun bergelar first lady Maroko.
Suami Salma, Raja Maroko memiliki anggaran kewangan mencapai USD 960 ribu menurut Forbes. Disebutkan kekayaannya mencapai USD 2,5bilion.


3. Hajah Hafizah Sururul Bolkiah


Si cantik Hajah Hafizah adalah puteri dari Sultan Brunei Darussalam, Hassanal Bolkiah yang lahir pada 12 March 1980 (33). Seperti yang disebutkan, semenjak kecil Hafizah sudah hidup mewah kerana ayahnya pernah menjadi manusia terkaya di dunia pada tahun 1997 versi Forbes.

Bolkiah disebutkan memiliki kereta mewah Rolls-Royce yang dilapisi emas 24 karat selain keretanya yang mencapai 7000 buah. Dia juga memiliki tempat tinggal terbesar di dunia, dengan 1700 bilik. Untuk pernikahan Hafizah dengan YAM Pengiran Anak Haji Mohammad Ruzaini, Bolkiah wang mencapai USD 20 juta.


4. Sheikha Hanadi bint Nasser Al Thani

Banker, investor dan pengusaha real estate adalah pekerjaan utama Sheikha Hanadi. Beliau kini menjadi salah satu pengusaha wanita paling berjaya di Qatar. Beliau juga menjadi penasihat khusus bank Standard Chartered. Malah, Hanadi adalah CEO dari projek pengembangan Al Waab City Real Estate.

Hanadi kini juga terdaftar sebagai wakil CEO kepada group Nasser bin Khaled Al Thani & Sons. Sekalipun tak pernah diungkapkan oleh Hanadi, jumlah kekayaan keluarga Thani mencapai lebih dari USD 15 bilion


5. Sheikha Maitha bint Mohammed bin Rashid Al Maktoum


Sheikha berasal dariDubai ini sangat mempesona kerana di balik parasnya yang cantik dia adalah atlet karate dan taekwondo. Lahir pada 5 March 1980 (33), Maitha adalah putri dari Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Perdana Menteri sekaligus Wakil Presiden United Emirate Arab dan monarki konstitusional Dubai.

Mohammed adalah pemegang saham terbesar dalam banyak perusahaan semenjak tahun 2006. Kekayaan keluarga Mohammed disebut lebih dari USD 40 bilion. Seakan tidak mahu dibayangi kekayaan ayahnya, Maitha membuktikan dia juga berprestasi dengan meraih pingat perak di Asian Games 2006.


6. Ameerah Al Taweel


Puteri Arab Saudi  seorang dermawan cantik bernama Ameera Al Taweel ini lahir pada 6 November 1983 (30). Beliau adalah isteri kepada Al Waleed bin Talal, anggota keluarga kerajaan Arab Saudi.

Al Waleed yang kini berusia 58 tahun adalah seorang bisnesman dan ada di posisi ke-26 dalam senarai lelaki terkaya di dunia versi majalah Forbes dengan daftar kekayaan bersih lebih dari USD 20-25 bilion. Dia kini sebagai salah satu manusia paling berpengaruh di Arab. Al Waleed juga adalah pengasas dan pemilik Perusahaan Kingdom Holding.


7. Sultanah Nur Zahirah


Ratu Terengganu, Sultanah Nur Zahirah adalah isteri dari Raja Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin. Nur sendiri terlahir pada 7 Desember 1973 (40) dan dia adalah Permaisuri ke-13 di Malaysia (2006-2011).

Meskipun keluarga Kerajaan tak pernah mengungkapkan nilai kekayaan mereka, dari berbagai sumber disebutkan jumlah kewangan bangsawan Terengganu ini lebih daripada USD 15 bilion.


8. Fathima Kulsum Zohar Godabari


Fathima Kulsum merupakan Permaisuri Kerajaan Arab Saudi. Menjadi salah satu anggota keluarga kerajaan terkaya di dunia, Fathima adalah isteri kepada Sheikh Avdi Al Muhammad.

Paras cantik mempesona Fathima sebelumnya tak pernah diketahui umum dan keindahan rupanya selalu misteri serta tersembunyi. Namun kini wajah-wajah cantik Fathima telah tersebar di internet. Sebagai negara OPEC terkaya, Arab Saudi menguasai 39% cadangan minyak OPEC. Cuba kamu bayangkan betapa banyak sumber kewangan Fathima?

5 Gambar kemalangan maut di Jalan Dengkil-Kota Warisan petang semalam

Posted By: TTO Admin - 28.11.13


Seorang wanita maut manakala enam lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 51.5 Jalan Dengkil-Kota Warisan, di sini semalam.

Dalam nahas kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa, Nathrah Zulkifli, 38, yang memandu kereta proton Iswara meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang rakan dan dua anaknya cedera parah.

Difahamkan ketika kejadian, Nathrah dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Persada Murni Alam Milenia, Bandar Enstek, Labu, Negeri Sembilan sebelum dirempuh oleh kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang datang dari arah bertentangan.

Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang, Inspektor Farah Hakim Azizan berkata, siasatan awal mendapati Toyota Avanza yang dipandu oleh seorang lelaki bersama dua penumpang lain hilang kawalan dan terbabas ke laluan bersebelahan.






Katanya, selain dirempuh MPV itu kereta mangsa turut dilanggar sebuah teksi yang mengekorinya di belakang.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala manakala kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan," katanya ketika ditemui ditempat kejadian di sini hari ini.

Pemandu teksi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di talian 03-87724222. -Utusan

Bayi baru lahir ditanam hidup-hidup pasangan remaja 20-an

Posted By: TTO Admin - 28.11.13


MIRI: Seorang bayi lelaki yang baharu dilahirkan dipercayai ditanam hidup-hidup di sebuah kawasan lapang berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di Suai, Niah petang kelmarin.

Perbuatan tidak berperikemanusian itu terbongkar setelah seorang pengawal keselamatan di ladang berkenaan terdengar bunyi tangisan bayi sebelum ternampak kelibat seorang lelaki dan seorang wanita keluar dari kawasan tersebut dalam keadaan tergesa-gesa.

Terdahulu, menurut sumber, pengawal keselamatan terbabit yang sedang bertugas di pondok pengawal di ladang itu ternampak pasangan berkenaan dalam keadaan mencurigakan memasuki kawasan lapang bersebelahan ladang sambil membawa sebuah beg plastik berwarna hitam.

Bagaimanapun, pengawal keselamatan berusia lingkungan 40-an itu tidak mengendahkan kehadiran pasangan terbabit memandangkan mereka berada di luar kawasan ladang tempatnya bertugas.

Selepas memasuki kawasan itu, katanya, lelaki terbabit dilihat duduk mencangkung sambil mengorek sesuatu sebelum kedua-duanya beredar dalam keadaan tergesa-gesa.

Pengawal terbabit juga memberitahu, sebelum itu dia ada terdengar bunyi tangisan bayi.

Beliau yang curiga dengan tingkah laku pasangan itu terus membuat pemeriksaan untuk melihat apa yang berlaku sejurus mereka beredar.

Setibanya di kawasan lapang itu sekitar jam 3.30 petang, pengawal keselamatan terbabit ternampak ada kesan tanah baharu dikorek dan ditimbus semula.

Melihat keadaan itu, dia cuba mengorek semula tanah tersebut yang digali cetek untuk melihat apa yang ditanam di situ dan terkejut apabila ternampak kaki bayi.

Serentak itu, dia terus memaklumkan pihak pengurusan ladang tentang penemuan mayat bayi tersebut dan seterusnya menghubungi pihak polis.

Polis yang tiba di tempat kejadian sekitar jam 6.30 petang telah menggali semula lubang itu dan menemui sekujur mayat bayi lelaki yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditanam di situ.

Pemeriksaan lanjut mendapati mayat bayi itu yang dipercayai baharu dilahirkan secara normal telah dibersihkan serta dibalut menggunakan kain putih dan dibungkus dengan selimut berwarna hijau.

Mayat terbabit yang turut dipakaikan lampin kemudian dihantar ke Hospital Miri malam kelmarin untuk bedah siasat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung penemuan mayat bayi tersebut.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis akan menjalankan siasatan terperinci termasuk meminta kerjasama pihak klinik atau hospital berhampiran untuk membantu siasatan dalam kes ini,” katanya sambil menyifatkan perbuatan individu terbabit sangat kejam.

Sehingga berita ini ditulis, belum ada tangkapan dibuat pihak polis berhubung kes itu. -TheBorneoPost

Wednesday 27 November 2013

Kamal Adli kecewa Fizz Fairuz sanggup tengok bola daripada sertai Liga Lawak Superstar

Posted By: TTO Admin - 27.11.13
Fizz Fairuz ketika di Stadium Cardiff City
KUALA LUMPUR: Sikap pelakon Fizz Fairuz yang dilihat acuh tak acuh untuk berganding bahu dalam kumpulan Apa Kasih Toq (AKT) menerusi Liga Lawak Superstar (LLS) menimbulkan rasa kecewa seorang ahli kumpulannya, Kamal Adli.

Kamal berkata, selepas dimaklumkan pihak TV3 mengenai penarikan diri Fizz itu, dia bertambah terasa hati apabila mendapati tindakan Fizz itu disebabkan dia mahu ke United Kingdom bersama syarikat mutiara, Rafflesia.

Kamal Adli

"Apabila pihak TV3 mengesahkan Fizz terpaksa menarik diri kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan, kami akur.

"Cuma saya terkejut dan terkilan apabila melihat di Instagram miliknya, dia bersama tiga artis lain iaitu Fizo Omar, Fahrin Ahmad dan Iqram Dinzly menyertai rombongan ke Cardiff yang dibawakan oleh Rafflesia,” katanya kepada mStar Online pada Rabu.

Fizz dan kesemua pelakon berkenaan dibawa menyaksikan perlawanan Liga Inggeris antara kelab Cardiff City menentang Manchester United (MU) di United Kingdom (UK) pada 24 November lalu.


Mesej Fizz Fairuz ini mendakwa dia disingkirkan dalam Liga Lawak Superstar tetapi TV3 memaklumkan dia sebenarnya menarik diri. Mana satu betul?


Fizz turut menyindir Syafiq Kyle kononnya pelakon remaja itu tidak layak bersama Apa Kasih Tok.

Selain Kamal dan Fizz, Apa Kasih Tok turut disertai oleh Didie Alias. Bagaimanapun tempat Fizz telah digantikan oleh pelakon Syafiq Kyle.

Menurut Kamal, disebabkan komitmennya dalam rancangan LLS, dia turut menolak tawaran untuk ke Cardiff tetapi berasa terkejut kenapa Fizz mengambil alih tempatnya sedangkan mereka bersama terlibat dalam rancangan lawak berkenaan.

“Sebenarnya saya pun dijemput oleh Rafflesia untuk ke UK tetapi saya terpaksa tolak kerana komitmen dalam LLS. Saya tak sangka pula tempat saya itu Fizz yang ambil,” katanya.

Dalam pada itu, Kamal berkata, dia keliru apabila Fizz menghantar mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) memaklumkan telah disingkir dalam rancangan itu tetapi pihak TV3 pula memaklumkan pelakon itu yang memohon untuk menarik diri.

Bagaimanapun Kamal tidak mahu terlalu memikirkan hal berkenaan sebaliknya ingin mencari keserasian bersama ahli baharu iaitu Syafiq.

Kumpulan Apa Kasih Toq
"Dia SMS saya meminta agar saya tenang dan berharap kumpulan kami berjaya sehingga ke peringkat akhir. Saya sebenarnya enggan masuk campur tentang urusan ini kerana ia lebih membabitkan antara Fizz dan pihak TV3. Saya pun tidak tahu situasi sebenar diri Fizz,” katanya.

Dalam pada itu Syafiq Kyle yang dihubungi memberitahu pemilihannya menggantikan Fizz dibuat oleh pihak TV3 serta dipersetujui oleh Kamal dan juga Didie.

Kata Syafiq, walaupun kemunculannya dalam rancangan itu dilihat agak kaku tetapi dia akan menggunakan pengalamannya bersama kumpulan Spy Kampung yang telah terkeluar untuk memantapkan lagi AKT.

“Saya akan berusaha untuk memastikan kumpulan AKT ini akan berjaya sehingga ke peringkat akhir,” katanya.

Dalam pada itu ditanya mengenai sendirian Fizz dalam Twitter yang mengatakan Syafiq tidak layak menyertai grup berkenaan, pelakon remaja itu bagaimanapun enggan mengulas mengenainya.

“Saya ada baca Twitter itu tetapi biarlah... TV3 yang panggil saya. Jadi, saya terima saja,” katanya. -Mstar

Gaji MB Selangor naik lebih 100%! Exco, Speaker dan Timb. Speaker naik lebih 200%!

Posted By: TTO Admin - 27.11.13


SHAH ALAM - Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor hari ini meluluskan kenaikan gaji untuk kesemua 56 Adun berkuat kuasa 1 Januari depan, dengan timbalan speaker Dun mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3 peratus.

Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji menteri besar Selangor, speaker Dun dan barisan exco kerajaan negeri.

Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri dari RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker Dun dari RM6,109.29 kepada RM22,500; timbalan speaker dari RM3,327.50 kepada RM15,750 dan Adun dari RM6,000 kepada RM11,250.

Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 2011.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata mesyuarat exco pada 22 Nov bersetuju menaikkan kadar gaji itu berdasarkan formula 75 peratus daripada elaun dan gaji yang diterima Adun dan anggota pentadbiran Sarawak.

"Kenaikan gaji ini dibuat berdasarkan kepada bebanan tugas yang dipikul tanpa mengira waktu oleh wakil rakyat," katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid mengumumkan pembayaran setengah bulan bonus kepada kesemua 15,643 penjawat awam negeri yang akan dibayar mulai Januari depan yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM14.821 juta.

Dengan pemberian bonus itu, penjawat awam negeri menikmati satu setengah bulan bonus termasuk bonus untuk Aidilfitri yang diberikan tahun ini.

Persidangan Dun bersambung esok. - Bernama

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab