Ipoh: Seorang lelaki berusia 27 tahun yang hanya memakai seluar dalam, ditemui mati tersepit di tingkap dapur sebuah rumah selepas dipercayai gagal memecah masuk kediaman jirannya di Taman Saz, Silibin, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 malam, suspek ditemui tersepit di tingkap belakang rumah jirannya.
Pemilik rumah itu yang hanya mahu dikenali sebagai Chen, 56, berkata, dia yang baru pulang membantu isterinya berniaga di Pasir Putih terkejut mendapati seorang lelaki tersepit di tingkap belakang dapurnya.
“Sebaik tiba di rumah, saya terdengar jeritan minta tolong dan segera menuju ke arah bunyi itu bagi mengenal pasti apa terjadi.
“Sebaik tiba, saya terkejut mendapati seorang lelaki tersepit di tingkap berhampiran dapur dan segera menghubungi polis,” katanya.
Menurut Chen, beberapa minit kemudian, polis tiba dan berjaya mengeluarkan lelaki itu, namun mangsa didapati meninggal dunia dipercayai berpunca daripada sesak nafas akibat tersepit.
Tingkap bahagian dapur tempat mangsa ditemui meninggal dunia akibat sesak nafas |
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika mengesahkan kejadian berkata, pihaknya menerima laporan jam 12.30 tengah malam.
Menurut Sum, anggota polis tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit selepas dihubungi pemilik rumah itu dan mendapati lelaki terbabit tersepit di tingkap belakang berhampiran sinki.
“Mangsa ketika itu hanya memakai seluar dalam manakala pakaian dan kasutnya diletakkan di tepi sinki rumah terbabit, dipercayai bagi memudahkannya memasuki rumah.
“Anggota polis terpaksa memotong besi tingkap terbabit bagi mengeluarkan mangsa,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), pagi semalam.
Sum berkata, mayat mangsa dibawa ke HRPB untuk bedah siasat.
“Hasil bedah siasat oleh unit forensik HRPB mendapati mangsa maut akibat kesukaran bernafas, malah tiada tanda-tanda menunjukkan mangsa dipukul dengan objek keras,” katanya. -Hmetro
KONGSI
& Komentar
Tweet