Thursday, 2 January 2014

SubhanAllah, lihatlah betapa cekalnya adik Nur Damia timba ilmu persekolahan

Posted By: TTO Admin - 2.1.14


Nur Damia Irsalina, tidak mempunyai kedua belah tangan dan kaki kiri menulis mengguna kaki kanan pada hari pertama persekolahannya di SKKT, Kuala Berang, semalam.

Kuala Berang: Biarpun terpaksa menulis menggunakan hanya dua jari kaki sambil berbaring di atas lantai beralaskan tikar, semangat kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU), Nur Damia Irsalina Daeng Malis, untuk menimba ilmu setanding rakan sebayanya yang normal tidak luntur.

Semangat tinggi Nur Damia Irsalina, 7, yang memasuki Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Kuala Telemong (SKKT) di sini, dikesan ibu bapanya apabila dia mencuba-cuba pakaian sekolahnya dan berlatih menulis di rumah sebelum sesi persekolahan.

Nur Damia dari Kampung Lubuk Batu di sini, kudung dua tangan dan dua kaki. Hanya kaki kanan mempunyai tiga jari yang membolehkan kanak-kanak itu menulis dan melakukan aktiviti seharian.

Ketika ini, Nur Damia bergerak menggunakan kerusi roda elektronik dan dia dihantar ke sekolah oleh bapanya, Dr Daing Malis Abd Kahar, 43, dan ibu, Rosnaini Mohamad, 35, yang tidak pernah berputus asa memberi semangat dan sokongan kepadanya.


Seronok masuk sekolah

“Saya seronok masuk ke sekolah hari ini (semalam). Saya mahu belajar bersungguh-sungguh,” katanya yang menjadikan pakar motivasi terkenal dari Australia, Nick Vujicic, yang senasib dengannya sebagai idola.
“Sebagai ibu saya sangat gembira melihat semangat di rinya. Dia tidak pernah menjadikan kecacatan diri sebagai penghalang untuk menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain,” katanya.

Rosnaini yang kini sibuk mencari pembantu untuk menjaga anaknya di sekolah berkata, buat masa ini beliau berhenti kerja selama enam bulan, bagi memastikan anaknya itu dapat menjalani sesi pembelajaran dengan sempurna.

“Buat masa ini Nur Damia Irsalina menggunakan kerusi roda elektronik bagi memudahkan pergerakannya di sekolah. Pada hari pertama sekolah, saya lihat guru dan rakan sekelasnya banyak membantu,” katanya.

Di Bachok, Kelantan, keletah empat murid kembar ditempatkan dalam satu kelas sama di Tahun Satu Berlian, mencuri tumpuan ramai dan menceriakan suasana pada hari pertama sesi persekolahan baru 2014 di Sekolah Kebangsaan (SK)Tawang. 


Empat murid terbabit ialah pasangan kembar seiras, Fadhil Atif dan Fadhil Akif Mohd Fadli serta kembar tidak seiras Amniya Darwisha dan abangnya Adib Ataullah Azlin, masing-masing berusia tujuh tahun.

Guru Besar SK Tawang, Mazlan Mat, berkata sekolahnya memang pernah menerima pendaftaran murid kembar, namun tahun ini lebih meriah kerana terdapat dua pasangan kembar serentak.

“Kami terpaksa letakkan empat murid itu di kelas sama kerana mereka enggan berpisah dengan saudara masing-masing.

“Bagaimanapun, kehadiran dua pasangan kembar itu bukan hanya menambahkan keceriaan, malah meningkatkan motivasi semua guru untuk melakukan terbaik untuk membantu mereka menguasai mata pelajaran diajar di sekolah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab