Tuesday 28 January 2014

Lantai rumah runtuh ketika angkat jenazah, 20 orang jatuh ke tanah

Posted By: TTO Admin - 28.1.14
SANDAKAN: Empat orang cedera selepas lantai beranda sebuah rumah runtuh ketika sedang mengangkat jenazah di Kampung Karamunting dekat sini hari ini.

Kesemua mangsa adalah lelaki berusia lingkungan 60-an dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent Sandakan.

Seorang penduduk kampung, Abdul Ghani Amat, 49, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi ketika mereka sedang mengangkat jenazah abang sepupunya yang meninggal dunia semalam untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Sim-Sim.

Katanya ketika kejadian dia bersama beberapa lelaki lain yang mengangkat jenazah sudah melalui beranda rumah itu dan berada di tangga.

Pengusung Jenazah (Gambar Hiasan)
"Tiba-tiba lantai beranda rumah runtuh dan mereka yang masih berdiri di atas lantai itu dianggarkan 20 orang jatuh ke tanah," katanya.

Abdul Ghani berkata empat orang mengalami luka setelah terkena serpihan kayu lantai yang patah dengan tiga daripada mereka dihantar oleh penduduk kampung ke hospital dan seorang lagi oleh ambulans.

Lantai beranda rumah itu runtuh disebabkan tidak dapat menampung berat orang ramai yang berdiri di atas lantai dalam satu masa, katanya. -Harian Metro

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab