Wednesday 29 January 2014

Murid dituduh mencuri diheret guru disiplin sampai terkoyak baju

Posted By: TTO Admin - 29.1.14
BALQIS menunjukkan baju sekolah yang koyak ditarik cikgu.
Kajang: Tidak cukup digelar pencuri, seorang murid tahun lima sebuah sekolah rendah di Bangi dekat sini, mendakwa diheret guru disiplin lelaki hingga koyak baju selain dikurung beberapa minit dalam stor sekolah selain cuba dipukul dengan penyapu.

Mangsa yang dikenali sebagai Balqis, 11, berkata, dia diperlakukan demikian oleh guru berkenaan dalam usaha memaksanya membuat pengakuan palsu kononnya dia bertanggungjawab mencuri wang tunai RM290 milik seorang guru di sekolah itu.

Menurutnya, walaupun kejadian itu sudah berlaku lima bulan lalu, namun hingga kini dia masih digelar pencuri di sekolahnya, malah turut dilucutkan jawatan sebagai pengawas Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) sejak kejadian itu.

“Pada hari kejadian 23 Ogos tahun lalu, saya bersama 12 rakan sekelas yang semuanya perempuan diminta membersihkan makmal sains sehari sebelum cuti sekolah dan selepas mengemas, kami terus pulang ke rumah.

“Bagaimanapun, selepas pulang daripada cuti sekolah, kami semua dipanggil untuk disoal siasat mengenai wang milik seorang guru yang mengajar subjek Kajian Tempatan sebanyak RM290 dikatakan hilang dan ketika itu, rakan sekelas mengaku mengambil wang itu, tetapi dia turut membabitkan nama saya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, apabila dia menafikan terbabit dengan kecurian itu, gurunya tidak mempercayai pengakuannya sebelum menuduh dia mencuri wang berkenaan dan bukan rakan sekelasnya yang mengaku berbuat demikian.

“Saya disoal siasat tiga hari oleh beberapa guru dan pada hari kedua, saya duduk di foyer sekolah dan ketika itu, guru disiplin berjalan ke arah saya dan menuduh saya mengambil wang itu dan apabila saya enggan mengaku, dia menjerit ke arah saya sebelum menarik dan mengheret saya dari foyer ke keretanya kononnya mahu membawa saya ke balai polis.

“Saya cuba menahan, tetapi tidak berdaya dan ketika itu guru itu menarik tangan saya dengan kuat hingga lengan baju terkoyak sambil dia memegang sejadah pula untuk menarik saya,” katanya.

Katanya, guru disiplin itu memaksanya mengaku termasuk menyatakan jika tidak mahu mengaku, dia akan dipukul dengan penyapu manakala hari seterusnya, seorang guru wanita mengheret dan mengurungnya dalam stor sekolah kerana enggan memberitahu tempat wang yang dicuri itu disimpan.

“Sejak kejadian itu, saya malu untuk ke sekolah dan rakan turut menjauhkan diri daripada saya kerana menyangkakan saya adalah pencuri. Saya tidak bersalah, tetapi diperlakukan begini,” katanya.

Sementara itu, ibu Balqis, Zalina Zakaria, 30, berkata, dia dan suaminya dipanggil ke sekolah selepas dua minggu anaknya disoal siasat dengan ganas.

“Dalam pertemuan dengan guru kaunseling, dia hanya memaklumkan anak saya mencuri wang dan tidak menyatakan dia dipukul, diheret, malah dikurung dalam stor sekolah.

“Apabila saya meminta untuk bercakap dengan rakan anak yang mengaku mencuri itu, guru berkenaan enggan memberi kebenaran dan seolah-olah mahu melindungi murid berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia kecewa dengan tindakan pihak sekolah yang menyiasat murid dengan ganas dan selepas mendapat tahu mengenai kejadian itu, dia kemudian pergi semula ke sekolah.

“Apabila saya menyoal tindakan guru disiplin yang mengheret dan memukul anak saya, guru itu dengan selamba menyatakan itu adalah cara soal siasat polis.

“Sejak kejadian itu, anak sulung saya tidak lalu makan, malah bertindak agresif hingga saya terpaksa membawanya berjumpa pakar psikiatri di Hospital Serdang sebanyak dua kali,” katanya.

Katanya, dia sudah membuat dua laporan polis dan kes itu juga sudah dirujuk kepada Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat, namun hingga sekarang tiada tindakan.-Harian Metro

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab