Monday 27 January 2014

Kenderaan penjelajah buatan China di bulan rosak

Posted By: TTO Admin - 27.1.14
BEIJING - Kenderaan penjelajah pertama milik Cina yang berada di permukaan bulan untuk misi saintifik selama tiga bulan dilapor mengalami kerosakan serius pada panel solar.

Agensi berita Xinhua melaporkan, kenderaan tersebut yang dikenali sebagai Jade Rabbit mengalami masalah mekanikal dan para saintis negara itu sedang berusaha untuk membaikinya.

Agensi Pentadbiran Sains, Teknologi dan Industri Negara China menyatakan, masalah tersebut berpunca daripada keadaan di bulan termasuk permukaan yang sukar dijangka.

Kenderaan berkuasa solar yang turut dikenali sebagai Yutu itu mendarat di bulan pada 14 Disember lalu.

Yutu
Seorang pakar syarikat aeroangkasa Kayser-Threde di Jerman, Lutz Richter berkata, beliau yakin kerosakan itu sangat serius dan China kemungkinan kehilangan kenderaan penjelajah tersebut.

Syarikat itu kini menjalankan kerjasama dengan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) dan Agensi Angkasa Lepas Eropah.

"Saya berpendapat China bakal kehilangan kenderaan penjelajah mereka ini.

"Jika panel solar ini tidak dapat ditutup ia akan menyebabkan komponen elektrik yang sensitif pada suhu akan membeku pada waktu malam dan akan rosak,'' katanya.

Suhu pada waktu siang di bulan boleh mencecah hingga 100° Celsius manakala pada waktu malam suhu boleh menurun sehingga negatif 180° Celsius. - Agensi

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab