Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, mangsa yang dikenali sebagai Ang Cheng Hoo, 64, dijumpai terbaring di tepi jalan oleh orang awam dengan beberapa kesan tikaman serta kelaran di bahagian perut dan leher tidak jauh dari kediamannya pada pukul 6.30 pagi.
"Menurut anak lelakinya, mangsa biasanya keluar berjoging pada pukul 5 pagi dan biasa pulang sebelum pukul 8 pagi dan sering membawa sebilah pisau bersamanya," katanya kepada pemberita.
Katanya, polis turut menemui kesan darah pada pisau milik mangsa di lokasi kejadian. Motif kejadian masih disiasat berikutan telefon bimbit dan dompet mangsa tidak diusik.
Beliau berkata, beberapa jiran mangsa ada mendengar suara pergaduhan sebelum kejadian dan mereka percaya suspek adalah seorang lelaki.
Katanya mayat Ang dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.
Mazlan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi balai polis berdekatan. - Bernama
KONGSI
& Komentar
Tweet