Sunday, 12 January 2014

Murid darjah 3 derita didera nenek angkat

Posted By: TTO Admin - 12.1.14
Murid Tahun Tiga dimasukkan ke wad kanak-kanak di Hospital Tampin (HT) untuk pemeriksaan perubatan kerana dipercayai didera keluarga angkat. - Foto Jaafar Mulup
Penduduk berpakat selamatkan murid Tahun 3

Gemencheh: Kira-kira sembilan tahun menderita akibat didera keluarga angkatnya termasuk menggunakan seterika, kayu dan rotan.

Akibatnya, tubuh murid perempuan Tahun Tiga, sebuah sekolah di kawasan tanah rancangan dekat sini, dipenuhi kesan parut dan calar.

Bagaimanapun, Khamis lalu, murid itu diselamatkan selepas penduduk menyedari tangisan dari rumah nenek angkat kanak-kanak itu sejak sekian lama, bukan kerana dimarahi, sebaliknya didera.

Wakil penduduk yang enggan namanya disiarkan mendakwa, mereka mendengar tangisan kanak-kanak itu hampir setiap hari, terutama sejak empat tahun lalu apabila dia ditinggalkan bersama nenek angkatnya berusia 50-an.

Penduduk mendakwa, ibu bapa angkat kanak-kanak yang dibela sejak berusia empat bulan itu berpindah berikutan perselisihan faham keluarga berkenaan.

“Dulu kami menyangka kanak-kanak malang itu kerap menangis kerana dimarah atau dipukul seperti ibu bapa mengajar anak sendiri. 

Banyak kesan parut

“Kebelakangan ini kanak-kanak itu kerap menangis dan beberapa jiran mengambil keputusan berbual dengannya. Kanak-kanak itu menceritakan penderitaannya dan kami melihat sendiri kesan dera di tubuhnya.

“Simpati dengan nasibnya, penduduk kampung berpakat menyelamatkan dia dengan mengambilnya dari rumah itu Khamis lalu dan membawanya ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya.

Ketika diselamatkan tubuhnya mempunyai banyak kesan parut dan calar, terutama bahagian belakang dan perutnya.

Difahamkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dimaklumkan kejadian itu menjalankan pemeriksaan dan siasatan serta membuat satu lagi laporan polis pada jam 7 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, berkata polis menerima laporan kes dan akan menjalankan siasatan lanjut.

“Kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tampin untuk pemeriksaan perubatan. Kertas siasatan akan dibuka sejurus kita menerima laporan perubatan,” katanya. -Berita Harian

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab