Tuesday, 5 November 2013

Kanak-kanak membonceng basikal ditunggang ayah maut digilis penggelek jalan

Posted By: TTO Admin - 5.11.13

Miri: Seorang bapa tidak menyangka tindakan membawa anak lelakinya yang berusia tiga tahun bersiar-siar dengan menunggang basikal berakhir tragedi apabila kanak-kanak itu maut digilis jentera penggelek jalan dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Senadin, di sini, kelmarin.

Mohd Syamil Mohd Shahrizan, 3, disahkan meninggal dunia kira-kira 15 minit sebaik mendapatkan rawatan di Hospital Miri berikutan parah di kepala dan bahagian badan termasuk hancur kaki kanan digilis jentera berat berkenaan.

Kejadian berlaku apabila pemandu jentera berusia 43 tahun tidak menyedari kehadiran mangsa bersama bapanya yang ketika itu duduk di atas basikal ketika mengundur jentera berkenaan pada kira-kira jam 4.30 petang.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bersama bapanya berusia 32 tahun sedang berbasikal di taman perumahan terbabit dengan mangsa membonceng sebelum lelaki itu berhenti di luar pagar rumah seorang jiran untuk bersembang.

Sumber polis berkata, ketika rancak bersembang, bapa mangsa serta jiran terbabit langsung tidak menyedari kehadiran jentera berat itu yang sedang mengundur dan lebih buruk apabila pemandunya juga tidak menyedari kehadiran dua beranak berkenaan di belakang jenteranya.

“Bapa kanak-kanak malang itu hanya menyedari kehadiran jentera itu selepas merempuh basikal yang ditunggangnya, sekali gus menyebabkan mereka terjatuh sebelum digilis roda besi jentera itu menggilis mangsa.

“Insiden menyayat hati itu disaksikan bapa kanak-kanak serta jiran terbabit, namun mereka tidak sempat berbuat sesuatu menyelamatkan mangsa dan hanya mampu menjerit ke arah pemandu jentera berkenaan,” katanya.

Kejadian itu mengakibatkan tulang di kaki kanan kanak-kanak itu hancur selain luka di badan dan kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Miri bagi mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, kira-kira 15 minit kemudian ketika mendapatkan rawatan, mangsa disahkan meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan parah dialami terutama di bahagian kepala,” katanya.

Berikutan kejadian itu, pemandu jentera terbabit menyerah diri di Balai Polis Pusat Miri sebelum dirujuk kepada Pegawai Penyiasat Balai Polis Trafik Miri untuk diambil keterangan pada jam 11 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. Pemandu jentera terbabit dibebaskan semalam dengan jaminan polis sebaik keterangannya diambil.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Hmetro

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab