Sunday 17 November 2013

Obesiti masalah besar di Malaysia, No. 1 di Asia Tenggara

Posted By: TTO Admin - 17.11.13


PETALING JAYA: Obesiti perlu ditonjolkan sebagai satu penyakit bagi menunjukkan betapa ia boleh membahayakan kesihatan seseorang.

Dua persatuan kesihatan mahu kerajaan melakukan sesuatu bagi mewujudkan kesedaran awam berhubung perkara ini.

Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia Prof Dr Mohd Ismail Noor berkata situasi masa kini menunjukkan bahawa langkah perlu dimulakan segera kerana terdapat juga kanak-kanak yang mengalami masalah berat badan.

"Mereka tidak menyedari bahawa ia (obesiti) adalah penyakit. Jadi, tiada siapa peduli dan berfikir bahawa gemuk itu OK. Apabila kita menganggapnya sebagai satu penyakit, ia akan menyedarkan orang ramai," katanya.

Beliau berkata obesiti merupakan faktor asas bagi penyakit kronik seperti kencing manis.

Obesiti dan berat badan berlebihan adalah antara faktor-faktor berlakunya risiko untuk penyakit kencing manis jenis II dan kencing manis gestasi - yang berlaku semasa kehamilan.

Malaysia menduduki tempat keenam di rantau Asia Pasifik bagi masalah obesiti dan mendahului senarai di Asia Tenggara untuk kedua-duanya; obesiti dan kencing manis.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya baru-baru ini berkata, terdapat kira-kira tiga juta rakyat Malaysia yang mengalami lebihan berat badan dan bilangannya semakin meningkat dalam situasi di mana kira-kira lima juta individu menderita mengalami pelbagai peringkat penyakit kencing manis.

Gaya hidup yang tidak aktif adalah antara faktor utama bagi peningkatan angka ini.

Dr Mohd Ismail berkata sesetengah ibu bapa menganggap mempunyai anak-anak yang montel adalah gambaran bahawa mereka dijaga dan diberi makan yang secukupnya tetapi mereka tidak sedar bahawa kanak-kanak itu mungkin berlebihan berat badan semasa akil baligh dan ini akan berterusan sepanjang hayat mereka.

"Sekali anda mengalami obesiti, ia akan menjadi masalah sepanjang hayat," katanya.

Beliau berpendapat bahawa pengurangan subsidi dalam barangan seperti gula dan minyak akan memaksa rakyat Malaysia mengurangkan penggunaan bahan makanan itu.

Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr Tee E Siong berkata, walaupun obesiti tidak disenaraikan sebagai punca kematian, ia boleh dianggap sebagai penyakit di Malaysia apabila bercakap tentang bahaya dan mewujudkan kesedaran kepada orang awam.

"Ini kerana obesiti adalah satu faktor utama yang memberi risiko kepada banyak penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, penyakit jantung, strok dan beberapa jenis kanser," katanya.

"Sebab utama saya untuk memanggil obesiti ini penyakit adalah supaya orang ramai lebih sedar mengenai bahaya keadaan.

"Bagaimanapun, saya pasti tidak mahu ia mempunyai implikasi negatif. Sebagai contoh, kanak-kanak dan orang dewasa yang gemuk tidak boleh didiskriminasi," katanya.

Beliau berkata, perkara utama bukanlah sama ada obesiti dilabelkan penyakit atau tidak tetapi untuk semua pihak yang berkepentingan memberi perhatian yang mencukupi ke arah mencegah obesiti berserta komitmen politik yang tertinggi.

"Patut diwujudkan pelan strategik dan pelan tindakan. Perlu ada pendekatan yang sistematik ke arah membanteras masalah ini," katanya.

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab