Thursday, 7 November 2013

Tun Mahathir sindir Petronas semakin ramai KITOL punca Bumiputera dipinggirkan

Posted By: TTO Admin - 7.11.13

Dr M: Petronas kena tolong Melayu

PUTRAJAYA – Syarikat minyak negara Petronas perlu menyokong dasar kerajaan, termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang memberi keistimewaan kepada kaum Bumiputera dan Melayu.

Penasihat Petronas, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebagai sebuah agensi kerajaan, Petronas, seperti agensi kerajaan lain, mesti mengikut dasar yang ditetapkan kerajaan.

“Dasar kerajaan setakat yang saya tahu, termasuk untuk melaksanakan DEB. Kerajaan belum tolak DEB.

“Ini bermakna Petronas juga terlibatlah (untuk laksanakan DEB),” kata bekas Perdana Menteri itu semasa ditemui di pejabat beliau di Putrajaya, semalam.

Beliau, bagaimanapun menegaskan, walaupun syarikat Bumiputera perlu diberikan layanan istimewa oleh Petronas, ia perlu dilakukan mengikut merit.

“(Ingin) lindungi (syarikat Bumiputera) pun ikut merit juga. Orang tak ada merit tak boleh la nak lindung,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan aduan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), pemilik syarikat yang menjadi vendor Petronas dan pengusaha stesen minyak Petronas mengenai dasar Petronas yang didakwa mula mengetepikan syarikat milik Bumiputera.

Dr Mahathir turut mengakui beliau sendiri menerima aduan berhubung perkara yang dilaporkan Sinar Harian kelmarin dan menegaskan, beliau telah pun menyampaikan kebimbangan itu kepada pengurusan tertinggi Petronas.

“Kerja saya (sebagai penasihat), saya beritahu kepada Presiden Petronas (Tan Sri Shamsul Azhar Abbas) tentang perkara-perkara ini (iaitu aduan mengenai dakwaan Petronas mengetepikan orang Melayu),” katanya.

Ditanya mengenai hala tuju dasar Petronas yang didakwa mula berubah daripada membantu syarikat Bumiputera dan orang Melayu, Dr Mahathir berkata Petronas beranggapan syarikat itu telah memenuhi objektifnya untuk membantu kaum Bumiputera.

“Jumlah kontrak (Petronas yang diberikan kepada syarikat Bumiputera) cukup besar. Katanya dia (Petronas) dah tolong banyak kepada Bumiputera,” kata beliau.

Dr Mahathir turut menjelaskan kapasitinya sebagai penasihat tidak berikannya kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada Petronas, sebaliknya beliau hanya boleh memberi nasihat.

“Saya cuma dengar banyak orang tak puas hati (dengan Petronas). Jadi bila orang tak puas hati, saya beritahu kepada presiden (Petronas).

"Terpulang kepada dia lah apa tindakan (nak diambil) sebab dia (ada kuasa) eksekutif. Saya bukan (ada kuasa) eksekutif,” jelas beliau.

Katanya, jika dilihat dari sudut keuntungan dicapai Petronas masa ini, pengurusan Petronas dianggap berada dalam keadaan baik.

Berhubung laporan Sinar Harian kelmarin mengenai peniaga-peniaga kecil yang didakwa tidak dibenarkan lagi membekalkan makanan seperti roti, nasi lemak dan kuih-muih ke stesen Petronas, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu mengenai perkara ini.

“Yang itu saya tak tau la. Ni saya baru dengar kata nasi lemak tak boleh jual (di stesen Petronas),” katanya.

Mengenai keluhan banyak syarikat Malaysia yang menerima kontrak syarikat gergasi minyak antarabangsa, tetapi tidak mendapat peluang di negara sendiri, Mahathir berkata Petronas perlu mengambil tahu mengenai masalah itu. -SHonline

Sudah tentu teguran Tun Mahathir sebenarnya adalah satu sindiran sinis kerana semua sudah maklum Petronas kini semakin dikuasai KITOL-KITOL berjawatan tinggi yang liberal dan menolak dasar-dasar kerajaan termasuk bantuan kepada golongan Bumiputera.

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab