Saturday 2 November 2013

Awas! Jangan tertipu sindiket tawar iklan jawatan kosong dengan gaji lumayan

Posted By: TTO Admin - 2.11.13

PUCHONG – Impian lima remaja untuk memperolehi gaji lumayan setiap bulan musnah apabila mereka diperalat oleh sindiket pengubahan wang haram.

Kesemua mereka dikatakan memperoleh ‘pekerjaan’ terbabit selepas terbaca iklan jawatan kosong di sebuah akhbar tempatan.

Disebabkan terlalu teruja dengan pendapatan ditawarkan, kelima-lima mereka kemudian menghadiri temu duga yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Pengerusi Persatuan Kepolisan (CP) Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng berkata, selesai temu duga tersebut, majikan terbabit kemudian menyuruh kelima-lima remaja lelaki itu pulang dan menunggu panggilan jawapan.

Selepas dua bulan menanti, remaja yang membuat aduan kepadanya mendakwa diterima bekerja sebagai pegawai pemasaran telefon oleh majikan itu.

Mangsa dijanjikan pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan, diwajibkan membuka buku akaun bank dan membuat kad ATM.

Chee Heng berkata, majikan terbabit kemudian memaksa kesemua mangsa menyerahkan buku akaun bank mereka kepadanya untuk tujuan transaksi perniagaan.

Tugas mangsa juga dikatakan sangat mudah, apabila wang selesai didepositkan ‘pelanggan’ ke buku akaun bank mangsa, majikan terbabit akan menyuruh mereka mengeluarkannya.

Kesemua mereka dijanjikan komisen tinggi tanpa menyedari mereka melanggar undang-undang.

“Wang yang didepositkan ‘pelanggan’ sangat tinggi antara RM12,000 hingga RM100,000, jika mangsa enggan membawa keluar wang itu, mereka diugut akan dicederakan.

“Apa yang saya ketahui, dua daripada mangsa sudah ditahan polis dipercayai terbabit dalam sindiket pengubahan wang haram kerana urus niaga menggunakan buku akaun bank mereka,” katanya.

Katanya, beliau percaya ramai lagi mangsa yang sudah terjerat.

Sehubungan itu, Chee Heng menggesa orang ramai tidak mudah terpedaya dengan janji manis mana-mana syarikat yang menjanjikan pendapatan lumayan. -Sinar

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab