Monday, 25 November 2013

132,801 peminjam PTPTN disenarai hitam, 45,550 sudah bayar balik

Posted By: TTO Admin - 25.11.13


KUALA LUMPUR - Seramai 45,550 daripada 132,801 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenarai hitam telah membuat bayaran balik melibatkan amaun sebanyak RM239.44 juta, sehingga 31 Oktober lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata tindakan menyenarai hitam peminjam tidak dibuat sewenang-wenangnya dan ia adalah langkah terakhir selepas peminjam gagal membuat bayaran balik dan tampil berunding.

"Tindakan senarai hitam dibuat selepas lima notis peringatan dihantar kepada peminjam atau 16 bulan selepas tamat pengajian," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Yap berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Hasan Mohd Ramli (PAS-Dungun) mengenai bebanan dan implikasi yang ditanggung oleh peminjam PTPTN sekiranya gagal menjelaskan pinjaman berkenaan.

Beliau berkata antara implikasi yang akan ditanggung peminjam ialah langkah menyenarai hitam di Jabatan Imigresen dan saman serta pelbagai langkah peringatan lain.

Mengenai peminjam yang masih menganggur, beliau berkata kementerian memberi penangguhan pembayaran semula selama dua tahun dan mereka perlu tampil ke PTPTN untuk proses rundingan. - Bernama

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab