PENAMPANG - Seorang lelaki dikhuatiri maut setelah hilang selepas lori yang dinaiki terjunam ke dalam Sungai Moyog, di Kampung Baba, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Hafis, berumur 20 tahun bersama pemandu lori berkenaan Maximelian Lim Chong Hen, 26, sedang dalam perjalanan dari Donggongon ke Inobong.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh berkata, ketika melalui jambatan di sungai berkenaan, lori itu hilang kawalan sebelum melanggar pagar jambatan dan terjunam setinggi 6.4 meter ke dalam sungai.
Menurut Ratan, Lim berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi tebing manakala Hafis yang dipercayai tidak pandai berenang, hilang dibawa arus.
Hafis yang beralamat di Kepayan Ridge, Kota Kinabalu memakai baju ’T’ merah, ketika kejadian, katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penampang Jamaluddin Hussin ketika dihubungi berkata laporan kejadian diterima pada pukul 3.41 pagi dan operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan sehingga kini. - Bernama
KONGSI
& Komentar
Tweet