Saturday, 14 December 2013

Eksklusif: Pakar Klimatologis tampil beri fakta punca banjir pantai timur luar biasa

Posted By: TTO Admin - 14.12.13

Kenapa hujan musim tengkujuh kali ini terlalu ekstrim?

i.  
Itu pertanyaan popular yang disogoh kepada klimatologis, ketika ini. Selepas soalan tipikal itu diaju bertubi-tubi, saya pun akhirnya tergoda untuk memberi sedikit penjelasan. Dari perspektif sains atmosfera.

Saya tau, jawapan ini nanti tidak akan menyelesaikan masalah kemanusiaan yang sedang berlaku. Sebab ini cuma cerita tentang proses fizikal sirkulasi udara yang mencetuskan cuaca luarbiasa ini. Bukan kaedah menangani impak sosioekonomi kepada penduduk.

Tapi sekurang-kurangnya kefahaman kita tentang sistem iklim yang sedang beroperasi di Asia Tenggara, sedikit-sebanyak boleh mengurai tanda-tanya yang bersarang di benak. Sekaligus dapat memperbaiki tahap ketersediaan mental dan fizikal kita dalam mendepani cabaran alam ini.

ii.  
Ada beberapa teori atmosfera yang boleh diguna untuk menjelaskan fenomena ini. Salah satunya adalah teori sirkulasi udara sinoptik (baca: pergerakan angin secara besar-besaran pada skala regional dan global). Saya mengkhusus dalam kajian sinoptik di peringkat PhD. Jadi penjelasan saya akan berasaskan perspektif ini.

Kita sekarang berada dalam Monsun Timur-Laut (November-April), yang memang sejak dulu dikenali sebagai musim tengkujuh. Seluruh Malaysia, kecuali kawasan pantai barat Semenanjung, lazimnya mendapat hujan yang lebat pada musim ini.

Dari mana datangnya hujan itu? Begini. Winter di hemisfera utara (benua Asia Timur) menyebabkan tekanan udara meninggi; manakala summer di hemisfera selatan (tanah besar Australia) menurunkan tekanan. Maka sirkulasi udara sinoptik dipacu untuk bergerak dari utara ke selatan; akibat daripada wujudnya perbezaan cerun tekanan.




iii.
Lihat anak panah MERAH dalam gambar. Itulah pergerakan udara yang terhasil. Ia berlaku setiap tahun pada tempoh bulan yang sama (mengikut pertukaran musim winter/summer). Angin inilah yang dikenali sebagai Monsun Timur-Laut. Sepatutnya Utara-Selatan; tetapi daya korialis bumi (putaran pada paksi) memesongkan sedikit pergerakan angin itu menjadi Timur-Laut.

Sebelum sampai ke Malaysia, angin itu akan melalui Laut China Selatan yang luas terbentang. Lalu mengangkut wap air yang disejatkan oleh laut; dan wap air itu kemudian terpeluwap sebagai hujan apabila melalui tanah daratan di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Itu sebab terjadi musim tengkujuh sewaktu tiupan Monsun Timur-Laut. Ketika Monsun Barat-Daya (Mei-Oktober) pula, tiupan anginnya datang dari selatan. Ia mengangkut juga wap air dari Lautan Hindi dan perairan sekitar Australia; tetapi air itu terpeluwap di gugusan kepulauan Indonesia sebelum sampai ke Malaysia. Itulah sebab kenapa angin monsun ini sudah kering apabila melalui negara kita.

iv
Itu tentang sistem monsun yang berlaku setiap tahun, yang membawa angin basah ke negara kita secara vertikal.

Satu lagi sumber udara lembab untuk Malaysia adalah pergerakan angin secara horizontal, dari Lautan Pasifik. Ini dipanggil sistem ENSO. Tetapi ini bukan kitar tahunan. Ia HANYA berlaku pada ‘situasi anomali’ – apabila suhu laut di bahagian timur jauh lebih rendah daripada bahagian barat.

Sekerap mana tingkahlaku aneh Lautan Pasifik begini terjadi? Tidak menentu, bergantung kepada mood atmosfera global. Mengikut trend statistik, ia biasa berlaku sekali dalam setiap 3-7 tahun. Tetapi ada ketika bila sistem iklim betul-betul ‘buang tabiat’ – ia boleh berlaku berturut-turut selama 2-3 tahun!

Lihat anak panah BIRU. Dari bahagian timur Lautan Pasifik, angin bergerak ke arah Asia Tenggara. Angin ini membawa wap air yang banyak kerana sepanjang perjalanan tersebut, ia melalui kawasan laut yang luas.

v
Seperti prinsip yang sama dengan sistem monsun, pergerakan udara ini juga dipacu oleh kecerunan tekanan. Cuma yang ini bukan diuja oleh musim winter/summer; tetapi oleh perbezaan suhu air laut.

Ketika ini, suhu laut di kawasan timur Lautan Pasifik memang lebih rendah berbanding kawasan barat. Lihat peta kecil yang disertakan (cerapan terakhir data pada 27 November 2013). Warna biru menunjukkan suhu rendah; warna merah pula suhu tinggi. Nampak tidak perbezaan itu? Itu yang mengolah wujudnya cerun tekanan.

Untuk melihat sendiri perkembangan suhu semasa, sila klik sini:http://www.cpc.ncep.noaa.gov/products/analysis_monitoring/enso_update/sstanim.shtml

vi
Maksudnya apa?

Musim tengkujuh Malaysia pada tahun ini sedikit luarbiasa. Dalam situasi normal, kita cuma akan mendapat hujan daripada sirkulasi angin vertikal Monsun Timur Laut. Yang datang dari benua Asia Timur di utara.

Tetapi tahun ini, satu sumber ekstra ditambah lagi – iaitu hujan yang dibawa oleh sirkulasi angin horizontal, berasal dari timur Lautan Pasifik. Dengan tambahan lembapan wap air ini, maka kuantiti hujan yang diterima jadi berganda.

Dalam kes banjir di Kuantan (yang terletak berhampiran pantai), ia menjadi lebih sukar kerana kedatangan hujan lebat ini (yang diuja secara bergotong-royong oleh sistem Monsun dan ENSO serentak!) – berlaku pula ketika ‘air pasang besar’ (rujukan: En. Mohd Salleh Mazukhi). Ini menyukarkan sistem litosfera (tanah) menangani limpahan air yang berlebihan. Sebab ‘pasang besar’ akan memperlahankan lagi larian air permukaan ke laut lepas.

Oleh : DR Rem Dambul

Info: Dr Rem Dambul adalah seorang Pensyarah/Pengkaji/Climatologist yang sedang berkhidmat di Center for Climate Change Research, King Abdulaziz University, Jeddah. Anak Malaysia berasal dari daerah Ranau, Sabah.

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab