Sunday, 13 October 2013

Google Malaysia digodam hacker Negara Pakistan

Posted By: TTO Admin - 13.10.13


ISLAMABAD: Laman web Google Malaysia masih tidak boleh diakses pengguna sehari selepas TechCrunch kali pertama mendedahkan bagaimana ia digodam beberapa penggodam ‘beretika.

Penggodam dari Pakistan itu juga menggelar kumpulan mereka sebagai ‘Madleets.’

Ketua penggodam yang mendalangi pasukannya mengenalkan diri sebagai ‘1337’ dan mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu.

Dalam satu pendedahan di ruang Facebook pasukan itu, Madleets membuat pengakuan melakukan beberapa pencerobohan berprofil tinggi di seluruh dunia.

Pada masa sama, mereka menegaskan, mereka hanya memfokuskan membantu syarikat memperbaiki sistem keselamatan.

Sejajar dengan pendirian mereka terhadap ‘serangan mengikut etika’, gangguan itu tidak bermotif politik atau ada motif tersembunyi.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan kepada web berita TechCrunch, pasukan itu berkata: “Tidak banyak alasan di sebalik tindakan itu, hanya membuktikan bahawa isu keselamatan bukan satu ilusi. Kami tiada motif politik atau sebaliknya.” 

Google mendakwa, perkhidmatannya tidak terjejas akibat serangan itu, namun pengguna dialihkan ke laman lain. Ia mengesahkan serangan adalah dalam kategori DNS (Sistem Nama Domain).

Laman itu kemudian dipadamkan. Techcrunch, yang mendedahkan perkara itu, berkata serangan DNS itu sesuatu yang merosakkan.

Katanya, penggodam mendapat akses ke Pusat Maklumat Rangkaian Malaysia dan menukar rekod DNS Google kepada pelayan milik Madleets.

Madleets mempunyai ruangan Facebook sendiri, yang menggambarkan kumpulan sebagai anti-penggodam.

“Kami anti Penggodam, kami mengajar bagaimana melindungi diri anda daripada digodam. Kami tidak disokong oleh mana-mana organisasi lain,” tulisnya.

Julai lalu Google Malaysia digodam kumpulan lain yang membantah bagaimana pekerja Bangladesh dilayan di Malaysia. - AGENSI

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab