Tuesday, 8 October 2013

4 Gambar menyayat hati isteri lihat suami dan anak mati lemas depan mata

Posted By: TTO Admin - 8.10.13



Tiada yang lebih memilukan buat tiga beranak apabila melihat dua orang yang mereka kasihi terkapai-kapai di depan mata sebelum mati lemas tanpa sempat menyelamatkannya.

Begitu yang berlaku terhadap Rohaya Mohd. Yusoff, 37, dan dua anaknya, Nor Sharmilla Hisham, 17, dan Nor Aziera Hisham, 13, dalam kejadian menyayat hati ketika mereka lima sekeluarga menaiki bot untuk bersiar-siar di Sungai Telok Mengkuang, Telok Panglima Garang di sini petang semalam.

Segala-galanya bermula kira-kira pukul 2.45 petang semasa suami Rohaya, Hisham Hizir @ Khizir, 42, cuba menyelamatkan anak bongsu mereka, Muhammad Shamirrul, 3, yang tiba-tiba hampir terjatuh ke dalam sungai.

Bagaimanapun keadaan bot yang senget akibat angin kencang menyebabkan Hisham dan Muhammad Shamirrul terus jatuh ke dalam sungai sebelum dihanyutkan arus deras dan lemas.

Menceritakan kejadian, Rohaya yang ditemui di rumahnya petang ini berkata, semasa suami dan anaknya jatuh dan dihanyutkan arus, dia serta dua anaknya yang lain cuba menghidupkan enjin bot untuk menghampiri mereka yang sedang tenggelam timbul.

"Dalam masa yang sama, saya terdengar suami menyebut Allahuakbar dan Shamirrul pula sedang menangis. Apabila kami sudah dekat, tangisan Muhammad Shamirrul tiba-tiba berhenti dan saya hanya nampak suami saya yang hampir tenggelam.

"Saya terus menariknya ke atas bot dengan bantuan anak-anak tetapi dia sudah tiada (meninggal) dan Muhammad Shamirrul pula hanyut entah ke mana," katanya sambil menangis.

Rohaya yang tidak bekerja memberitahu, dia terus meminta bantuan dengan menghubungi talian kecemasan 999 sebelum menelefon seorang lagi anaknya, Mohd. Hariri, 15, yang berada di rumah untuk memberitahu kejadian.

Ujarnya, selepas bantuan tiba, mayat suaminya terus dibawa ke hospital sementara gerakan mencari Muhammad Shamirrul dimulakan petang semalam dan akhirnya mayatnya ditemui hari ini.

"Saya sedih kerana niat untuk menyambut Hari Raya Aidiladha minggu depan yang juga jatuh pada hari lahir suami saya tidak kesampaian," katanya sambil memberitahu suami dan anaknya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 9, Kebun Baharu di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Langat, Supritendan Nordin Manan berkata, kejadian tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.



#Takziah kepada keluarga mangsa

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab