Saturday, 12 October 2013

2 Gambar lelaki parah di kepala terjatuh dari permainan berpusing di Fun fair

Posted By: TTO Admin - 12.10.13

SARIKEI- Seorang pemuda cedera parah di muka dan kepala selepas terjatuh daripada sebuah permainan berpusing di tapak pesta UK Fun Fair, Jalan Kubu Lama di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, Wong Kiing Lung, 19, yang berasal dari Sibu tercampak daripada permainan dipanggil Tri Star yang sedang berpusing laju.

Dia kemudian jatuh terlentang di atas permukaan konkrit manakala kepalanya terhantuk pada besi penghadang yang terletak tidak jauh daripada permainan berkenaan.



Seorang saksi dikenali sebagai Nuradila, 24, memberitahu, ketika kejadian, dia dan tiga lagi rakannya sedang menunggu giliran untuk menaiki permainan itu.

Katanya, mereka ternampak mangsa yang berbadan agak gempal tiba-tiba tercampak dari permainan tersebut sebelum jatuh tersembam di atas lantai dalam keadaan kepala berlumuran darah.

"Menurut beberapa saksi berada di tempat kejadian, lelaki itu sebenarnya sudah pengsan ketika berada dalam permainan itu.



"Apabila sudah tidak sedarkan diri, tangannya tidak lagi berpaut pada pemegang keselamatan lalu terhumban keluar," katanya yang terus membatalkan hasrat untuk mencuba permainan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Dominic Josip ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

"Mangsa dirawat di Hospital Sarikei sebelum dihantar ke Hospital Sibu awal pagi ini memandangkan kecederaan yang dialaminya agak serius. Keadaan mangsa dilaporkan masih kritikal manakala punca kejadian masih disiasat," katanya.

#Hati-hati ketika bersuka ria.

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab