Wednesday 2 October 2013

Kerajaan akan tetap teruskan pemberian BR1M - Ahmad Maslan

Posted By: TTO Admin - 2.10.13


KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu terus memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan tertentu yang memerlukan seperti dirancang sebelum ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata BR1M boleh menjana ekonomi setempat kerana wang tunai yang diberikan akan digunakan untuk membeli barangan sekaligus meningkatkan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.

"BR1M bukan hanya wang tunai untuk ringankan beban tetapi sedikit sebanyak beri kesan positif ke atas pertumbuhan ekonomi dan penggunaan domestik," katanya kepada media selepas merasmikan majlis Kongres BankTech Asia 2013 di sini, Rabu.

Ahmad berkata kedai runcit, pasar tani, pasar malam dan pusat membeli belah akan turut menerima kesan positif daripada program BR1M.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai saranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang berpendapat BR1M tidak perlu diteruskan dalam Belanjawan 2014.

Sebaliknya, Dr Mahathir berkata jalan penyelesaian mesti dicari supaya rakyat tidak terus bergantung kepada kerajaan seperti melatih golongan berkenaan mendapatkan sumber pendapatan sendiri.

Ahmad berkata kerajaan telah menyediakan pelbagai kursus latihan kemahiran melalui agensi-agensi sedia ada seperti pusat-pusat latihan termasuk Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran MARA, Institut Kemahiran Belia Negara dan GiatMara. - BERNAMA

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab