Wednesday, 13 November 2013

Sah! Dickson Nwakaeme tinggalkan Kelantan, Nor Farhan ke T-Team

Posted By: TTO Admin - 13.11.13

KOTA BHARU: The Red Warriors terus dirundung episod duka selepas pemain importnya, Dickson Nwakaeme, sah meninggalkan Kelantan pada musim depan selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal memenuhi tuntutan gaji pemain itu.

Penasihat KAFA Tan Sri Annuar Musa berkata, persatuan itu bersetuju untuk melepaskan penyerang dari Lagos, Nigeria itu yang menuntut gaji melebihi RM1 juta sebagai imbuhan untuk terus beraksi bersama The Red Warriors pada musim hadapan.

"Saya bersetuju melepaskan Dickson yang mahukan gaji berganda (berbanding musim ini) yang melebihi RM1 juta. Bagaimanapun, pemain yang bijak menggelecek dan mampu mengucar-kacir barisan pertahanan lawan bakal diganti dengan pemain yang mempunyai rekod penyudahan yang baik," kata Annuar dalam laman sosial Facebooknya hari ini.

Pemain berusia 27 tahun itu dikatakan mendapat tawaran untuk beraksi bersama sebuah kelab di Eropah.

Annuar berkata, walaupun ramai yang beranggapan kualiti Kelantan sebagai juara treble pada 2012 akan merosot selepas kehilangan sebilangan besar tonggak pemainnya, beliau akan memastikan Kelantan terus mengekalkan kredibiliti pasukan itu sebagai antara yang digeruni dalam negara ini.


"Ada yang beranggapan dengan ramai pemain Kelantan termasuk Dickson dan ketua jurulatih, Bojan Hodak sudah tiada, maka hancurlah The Red Warriors. Yang hendak keluar, kita tak dapat halangnya namun tidak semestinya kita ranap begitu sahaja.

"Saya akan umumkan 22 pemain Kelantan 2014 dalam sedikit masa lagi sementara menunggu beberapa kontrak dimuktamadkan," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Kelantan bakal kehilangan lapan pemain tonggaknya iaitu Mohd Norfarhan Mohammad, Indra Putra Mahyuddin, Azizi Mat Rose, Mohd Rizal Fahmi Rosid, S Subramaniam, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Shakir Shaari dan Mohd Izuan Solahuddin, yang akan berhijrah ke beberapa pasukan lain.

Selain itu, KAFA turut kehilangan pengendali berbakat dari Croatia, Bojan Hodak yang memutuskan untuk tidak menyambung kontraknya bersama persatuan itu pada musim hadapan dan mengambil bekas jurulatih Perak, Steve Darby bagi mengisi kekosongan tersebut.

Dalam entri berasingan di laman sosial itu juga, Annuar berkata KAFA menawarkan gaji paling tinggi yang pernah ditawarkan kepada mana-mana pemain tempatan dalam pasukan itu dalam usaha KAFA mengekalkan pemain tengah, Mohd Norfarhan, daripada berhijrah ke pasukan lain.

"Namun beliau memilih untuk ke Terengganu (T-Team)...kita berpuas hati dengan segala usaha yang telah dilakukan dan menghormati pilihannya," katanya.

Norfarhan sebelum ini dikhabarkan memilih untuk menyarung jersi bersama kelab Johor Darul Takzim (Johor DT), namun memutuskan untuk beraksi bersama kelab dari negeri kelahirannya, T-Team pada saat-akhir. - Bernama

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab