Wednesday, 4 December 2013

Ratusan penumpang terkandas, bas ekspres ke KL terpaksa henti operasi

Posted By: TTO Admin - 4.12.13

KUALA TERENGGANU: Beratus-ratus penumpang bas ekspres dijangka tidak dapat meneruskan perjalanan mereka ke Kuala Lumpur selepas banyak syarikat bas itu terpaksa menghentikan operasi mereka buat sementara waktu.

Ini ekoran beberapa laluan utama dinaiki air sehingga menyebabkan terpaksa ditutup untuk laluan semua kenderaan dan keadaan sukar dijangkakan.

Ketua Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) negeri, Nik Aminuddin Nik Shahar Shah berkata, lebih daripada sembilan pengusaha bas mula menghentikan operasi mereka secara berperingkat-peringkat mulai malam tadi.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin, selain enggan mengambil sebarang risiko berkaitan termasuk kerosakan bas.

Ketika ini katanya, dianggarkan hampir 20 bas ekspres tidak dapat meneruskan perjalanan mereka ke Kuala Lumpur dan Kuantan akibat banjir yang kian berlarutan.

"Saya difahamkan hampir kesemua pengusaha bas ini juga terpaksa memulangkan kembali duit tiket yang dibeli oleh para penumpang sebelum ini," katanya dipetik Utusan Online.

Mengulas lanjut, Nik Aminuddin berkata, bas ekspres yang menuju ke arah utara semenanjung dari Kuala Terengganu bagaimanapun masih beroperasi seperti biasa setakat hari ini.

"Saya yakin pihak pengusaha bas ini akan meneruskan operasi sebaik banjir mulai surut dan kesemua jalan utama kembali dibuka atas arahan pihak berkuasa.

"Buat masa ini, orang ramai yang ingin ke ibu negara dinasihatkan supaya mencari alternatif lain termasuk menaiki kapal terbang dan sebagainya," ujar beliau.

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab