Saturday 1 February 2014

Budak 3 tahun maut dihempap TV lama 29 inci

Posted By: TTO Admin - 1.2.14
BUTTERWORTH: Kegembiraan keluarga untuk merakamkan gambar kenangan ketika meraikan Tahun Baru Cina berakhir tragedi apabila anak tunggal pasangan itu maut apabila televisyen menghempapnya dalam kejadian di Taman Chai Leng, Perai, di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Baharom Abu berkata dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, keluarga berkenaan sedang bersiap-siap merakamkan gambar kanak-kanak perempuan itu, Chew Hui Zhen, tiga tahun, sebelum dihempap televisyen 29 inci.

"Televisyen jenis lama iaitu saiz besar dan berat itu diletak di atas sebuah rak yang tingginya tidak sampai satu meter dan dipercayai kanak-kanak berkenaan berdiri di hadapan rak itu untuk mengambil gambar sebelum ia (rak) condong dan televisyen itu jatuh atasnya.

Gambar Hiasan
"Akibat kejadian berkenaan, mangsa parah dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut, bagaimanapun kanak-kanak itu mati ketika menerima rawatan pada 10.30 malam tadi.

"Kita dimaklumkan kejadian itu oleh pihak hospital dan bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Baharom berkata, polis menyiasat kejadian itu sebagai mati mengejut kerana laporan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

Katanya, pihaknya belum mengambil keterangan daripada ibu dan bapa kanak-kanak itu kerana mereka masih dalam keadaan sedih dan trauma.

"Ketika kejadian beberapa anggota keluarga bapa kanak-kanak itu turut berada di rumah berkenaan dan mereka sedang meraikan sambutan Tahun Baru Cina," katanya.

Sementara itu, usaha pihak media untuk menemu bual ibu bapa kanak-kanak itu, Chew Hock Soon, 26, dan Phoruethai Sae Lee, 25, di bilik mayat HSJ gagal selepas mereka enggan ditemubual.

Bapa kanak-kanak itu bekerja sebagai tukang paip manakala ibunya warga Thailand dan tidak bekerja. - Bernama

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab