Friday 14 February 2014

Gara-gara tak bawa buku sekolah, 4 pelajar ditumbuk dan ditendang guru

Posted By: TTO Admin - 14.2.14

IPOH: Akibat tidak membawa buku sekolah, empat orang pelajar di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Sitiawan, Perak didakwa telah ditumbuk dan ditendang oleh guru mereka.

Mangsa dua lelaki dan dua perempuan masing-masing pelajar tingkatan satu dan tingkatan dua itu cedera di bahagian badan, pinggang, perut dan dagu akibat perbuatan guru tersebut.

Pihak polis yang bertindak atas laporan mangsa telah merakam percakapan kesemua mangsa serta guru berusia tiga puluh empat tahun itu pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Jaafar Baba memberitahu guru tersebut turut mempunyai kes yang sama pada Januari lalu namun perkara tersebut diselesaikan secara baik antara pihak sekolah, PIBG dan keluarga pelajar.

"Siasatan awal kita dapati kejadian ini ada kaitan dengan tidak membawa buku latihan. Yang satu lagi itu berkemungkinan berkaitan dengan perbuatan yang tidak sengaja dan sebagainya yang berkaitan dengan botol air,"

"Guru terbabit telah dipanggil semalam dan rakaman percakapan telah pun dibuat. Maknanya kita akan kumpul kesemua maklumat dan juga termasuklah laporan perbuatan ini dan kita akan panjangkan perkara ini kepada timbalan pendakwaraya untuk tindakan sewajarnya." katanya lagi.

Kesemua mangsa telah mendapat rawatan pesakit luar di hospital Seri Manjung.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan di mana jika di bersabit kesalahan, guru tersebut bakal dikenakan hukuman penjara selama setahun atau denda RM2000 atau kedua-duanya sekali.

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab