Monday, 2 September 2013

Hans Isaac fokus teater setelah Filem Lemak Kampung Santan (LKS) gagal dapat sambutan

Posted By: TTO Admin - 2.9.13


PETALING JAYA: Penerbit dan pelakon Hans Isaac akan memberi fokus kepada penerbitan teater selepas filem arahannya iaitu Lemak Kampung Santan (LKS) gagal mendapat sambutan penonton ketika ia ditayangkan di pawagam pada 1 Syawal lalu.

Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 42, berkata, bidang teater adalah lebih selamat selain tidak merugikan namun tidak menolak akan menerbitkan filem pada masa akan datang.

"Selepas LKS gagal mendapat sambutan daripada penonton saya merasakan sudah tiba masanya saya memberi fokus kepada penerbitan teater sahaja selepas ini kerana ia lebih selamat dan tidak merugikan.

"Bagaimanapun itu tidak bererti saya tidak akan langsung membuat filem cuma ia bukan lagi keutamaan saya buat masa ini," katanya kepada mStar Online.

Filem lakonan Neelofa, Natasha Hudson, Nadia Mustapha, Nadia Heng, Adlin Aman Ramli, Mat Over, Ridzuan Hashim, Datuk Jalaludin Hassan dan Harith Iskandar itu hanya berjaya mengutip RM100,000 sepanjang dua minggu ia ditayangkan.

Dalam pada itu, Hans berkata, dia tidak kecewa apabila filem itu gagal mendapat sambutan kerana mengakui industri perfileman semakin berubah sejak kebelakangan ini selain kutipan merosot.

Malah kata Hans, perkara itu terjadi bukan sahaja kepada filemnya tetapi penggiat lain turut menerima tempias sama namun sebagai penerbit dia harus mengambil risiko tersebut.

"Sepanjang tahun ini tidak banyak filem mendapat kutipan memberangsangkan dan bidang ini sudah menjadi semakin risiko kerana landskapnya sudah berubah selain budaya menonton semakin hilang dikalangan penonton.

"Sebelum ini ada yang menasihati saya supaya tidak buat filem LKS tetapi saya tetap ambil risiko dan ternyata perjuangan saya tidak mendapat sokongan penonton yang sukar diduga selera mereka," ujarnya.

Hans sebelum ini pernah memberitahu telah mengeluarkan kos tinggi iaitu sebanyak RM750,000 bagi mempromosikan filem itu yang diterbitkan syarikat miliknya, Tall Order Production.-Mstar

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab