Sunday 8 September 2013

Adi Putra beri penjelasan isu skandal isteri orang, Selasa.

Posted By: TTO Admin - 8.9.13


PELAKON terkenal, Adi Putra akan membuat sidang akhbar berhubung gosipnya dengan isteri seorang ahli perniagaan dari Johor pada Selasa ini pukul 3 petang.

Sidang akhbar itu bukannya yang pertama diadakan dengan tujuan untuk membersihkan namanya. Pelakon memiliki nama Muhamed Hadi Putra Halim itu sebelum ini pernah mengadakan sidang akhbar berhubung kes perceraiannya pada tahun lalu.

Pada 22 Mac 2012, aktor berusia 32 tahun itu telah muncul pada sidang akhbar yang diadakan di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur untuk menjelaskan tentang kes perceraiannya.

Penjelasan itu dibuat selepas dia membuka fail perceraian terhadap isterinya di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 11 Mei 2012.

Namun, Adi menutup semula fail tersebut selepas 10 hari dia mengemukakan kes perceraiannya.

Ketika itu, Adi dan isterinya, Zuhaida Yusof mengadakan sidang akhbar di sebuah kafe di Hotel Park Royal bagi menjelaskan mengenai status mereka selepas timbul spekulasi bahawa mereka sudah tidak sehaluan.

Namun, selepas isu perceraian itu selesai, nama Adi naik lagi malah menjadi sebutan bibir ke bibir. Kes siasatan polis berhubung gangguan Adi terhadap isteri ahli perniagaan itu kini menjadi sebutan.

Pada minggu lalu, Adi muncul di Esplanade, Singapura apabila berlakon dalam teater Akulah arahan Erma Fatima. Dalam pementasan teater itu, dia membawakan watak seorang Datuk yang mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain. Bagaimanapun, ia cuma teater. Dalam alam realiti Adi belum membuka mulut menerangkan keadaan yang sebenar tentang isu dia didakwa menganggu isteri orang.

Skandal Adi dengan isteri orang itu kini disiasat polis selepas suami wanita berkenaan membuat laporan.

Menurut laporan tersebut, pelakon itu didakwa saling berbalas-balas mesej dan bertukar-tukar gambar lucah dengan wanita berkenaan yang berusia 30 tahun walaupun mereka baru berkenalan selama seminggu.

Pelakon itu dikatakan berkenalan dengan wanita tersebut menerusi laman Instagram sebelum mereka kerap berbalas-balas mesej melalui aplikasi Whatsapp sejak 29 Julai lalu.

Bagi menjernihkan keadaan yang sedang panas ini, Adi mengesahkan kepada Kosmo! bahawa dia akan mengadakan sidang akhbar pada 10 September ini pada pukul 3 petang di Bunga Tanjung Lounge, Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, kenyataan tentang sidang akhbar itu telah dikeluarkan oleh pengasas Fereena Beauty Care, Zulkifly Muhamad yang juga rakan niaga Adi untuk produk kecantikan tersebut.

"Adi menyatakan dia mahu membuat sidang akhbar ini untuk menjelaskan keadaan yang sebenar berhubung tuduhan tentang skandalnya antara dia dengan isteri seorang ahli perniagaan. Dia melihat semua yang berlaku ini sebagai satu hikmah dan dari sudut positif," ujar Zulkifly.

Selain rakan niaga, Adi Putra juga bertindak sebagai duta produk Fereena. Menurut Zulkifly, tuduhan tersebut tidak akan menjejaskan hubungan pelakon itu dengan syarikat produk tersebut.

"Walaupun terdapat kes polis berhubung skandal Adi bersama isteri kepada seorang usahawan di Johor, ia tidak akan menjejaskan hubungannya sebagai rakan niaga dan tugasnya sebagai duta produk kecantikan Fereena Beauty Care," katanya.

Menurut Zulkifly, kontroversi tersebut juga bukan satu isu yang akan memberi impak buruk terhadap perniagaan produk dan syarikat Fereena kerana ia merupakan soal peribadi yang tiada kaitan dengan jatuh bangun syarikat.

"Bagi saya, tiada masalah kerana apa yang berlaku adalah hal peribadi yang tidak melibatkan syarikat. Perkara itu (skandal Adi) berlaku di alam maya. Kadangkala kesahihan fakta itu tidak berani disentuh kerana kita tidak tahu keadaan sebenar," kata Zulkifly, rakan niaga Adi sejak bulan lalu.

Menurut Zulkifly, pelakon filem Haq itu datang menemuinya pada Rabu lalu di Old Town Setiawangsa pada pukul 4 petang untuk bertanyakan tentang kedudukan dirinya dalam syarikat tersebut.

"Adi datang berjumpa saya untuk bertanyakan tentang reputasi dan keadaan terkini sama ada saya mahu meneruskan kerjasama sebagai rakan niaga dan tugasnya sebagai duta. Dia menceritakan kepada saya tentang berita skandal yang tersebar di laman maya," jelas Zul yang turut memberitahu bahawa Adi mempunyai saham dalam syarikat mereka itu. - Kosmo!

BERKAIT - 8 Gambar Wanita didakwa Skandal Adi Putra

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab