Saturday 21 September 2013

Presiden BAM perlekeh Rashid Sidek, anggap bukan kehilangan besar

Posted By: TTO Admin - 21.9.13
Tengku Mahaleel Tengku Ariff (kanan) dan Tan Aik Mong menjelaskan kepada media mengenai peletakan jawatan jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek pada sidang akhbar di pejabat BAM, Bukit Kiara semalam.
KUALA LUMPUR - Biarpun sudah 10 tahun Rashid Sidek membimbing skuad kebangsaan, namun Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff tidak menganggap tindakan jurulatih itu meletak jawatan sebagai satu kehilangan besar.

Malah, Mahaleel dalam sidang akhbar semalam turut mengeluarkan semua statistik pencapaian pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 itu sepanjang menjadi jurulatih kebangsaan dengan menganggap ia tidaklah sebagus mana.

"Ia bukan kehilangan besar. Data telah membuktikan prestasi jurulatih, hanya mereka yang boleh diharap sahaja mampu mencapai sasaran baharu yang kami tetapkan. Kalau pemain yang dilatihnya hanya menang 30 ke 40 peratus perlawanan mana boleh jadi juara," katanya dalam sidang media di pejabat BAM semalam.

Katanya lagi, badan badminton negara itu kini menekankan tentang prestasi jurulatih, dan selepas mengkaji data yang dikeluarkan oleh BAM, beliau mendapati pemain yang berada di bawah jagaan Rashid, kecuali Datuk Lee Chong Wei hanya menang ke atas pemain dari negara bukan hebat dalam sukan badminton.

"Apa yang mustahak sekarang ini bukan individu, ia adalah untuk negara dan pasukan kita. Jika dia (Rashid) dakwa tidak boleh bekerja dengan orang lain, sekarang saya pula hendak menjawab saya tidak kenal dia, saya tidak pernah jumpa dia. Dia seolah seperti tidak ada masa untuk bercakap dengan saya.
Tan Aik Mong


"Ada sekali dia bertembung dengan saya, itupun dia hanya mengucapkan 'helo' sambil berlalu begitu sahaja.

"Memang ia bukan satu kehilangan besar kepada BAM kerana kami juga telah bawa masuk Razif Sidek. Memang dia (Razif) bukan jurulatih tetapi dia akan bantu jurulatih dengan menekankan corak yang berbeza," katanya.

Rashid, wira yang membantu Malaysia menjulang Piala Thomas 1992 mula menyertai BAM pada 2003 dengan bertindak sebagai pembantu abangnya, Datuk Misbun Sidek.

Dia menghantar surat perletakan jawatan kelmarin dengan alasan tidak boleh bekerjasama di bawah pengurusan baharu.

Dalam pada masa, Tengku Mahaleel turut mempersoalkan tindakan Rashid menandatangani kontrak bersama kelab Liga Badminton India, Delhi Smashers selama setahun sedangkan dia mempunyai kontrak bersama BAM dari Januari 2013 hingga Disember 2014.

"Sama ada perkara ini benar atau tidak tetapi ia keluar dalam satu kenyataan oleh media India pada tarikh 19 Julai iaitu sebelum saya menjadi presiden lagi.

"Artikel tersebut menyatakan bahawa Rashid telah menandatangani kontrak selama setahun bersama Delhi Smashers. Adakah anda (media) terkejut? Sekarang ini kita ludah ke muka dia, atau dia ludah ke muka kita?

"Macam mana seseorang itu mempunyai kontrak dengan Malaysia tetapi menandatangani kontrak lain dengan pasukan di luar negara.

"Adakah perkara ini masuk akal, jika dia menandatangani kontrak dengan pasukan lain habis itu pemain yang di sini (Malaysia) macam mana pula? Kalau dalam undang-undang ia seperti melanggar kontrak," katanya.

Tengku Mahaleel bagaimanapun gagal memberi jawapan yang jelas ketika ditanya mengapa beliau hanya menimbulkan isu penyertaan Rashid dengan kelab India tersebut sekarang, iaitu sehari selepas jurulatih itu meletakkan jawatan, sedangkan berita tersebut telah disiarkan lebih dua bulan lalu.

Beliau sebaliknya cuma menjelaskan, Rashid masih mempunyai kontrak dengan BAM dan telah melanggarinya.

"Tahun depan kita akan menghadapi Piala Thomas, Kejohanan Dunia, Sukan Asia dan Sukan Komanwel tetapi jika kita melatih pasukan lawan, segala rahsia akan terbongkar.

"Jika berada dalam syarikat perkara ini memang satu isu yang serius," katanya sambil turut menegaskan, semua kenyataan yang dikeluarkan Rashid dalam akhbar kelmarin adalah tidak benar.

Kelmarin, Rashid mendedahkan bahawa kesukaran untuk menerima cara kerja pengurusan baharu BAM menjadi punca utama dia meninggalkan skuad kebangsaan.

Katanya, semua jurulatih berasa seperti diperlekehkan dan tidak dihormati oleh beberapa orang kepercayaan Presiden yang diberi terlalu banyak kuasa untuk mencampuri urusan latihan. -Utusan

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab