Rusdi Rani (dua dari kiri) bersama Siti Aishah Ariffin (kanan) |
Siti Aishah Ariffin, 40, berkata, dia perlu berehat sebentar jauh dari rumahnya di Alor Semela dan akan ke Kampung Tok Dor di Jertih bersama suaminya, Rusdi Rani, 38, selepas semua urusan berkaitan kes pembunuhan tiga anak perempuannya itu selesai.
"Saya perlu berehat di sana sebentar sebelum balik semula ke sini untuk meneruskan kehidupan.
"Kesihatan saya juga tidak menentu sekarang, tekanan darah saya meningkat sehingga 150 hari ini dan jururawat yang melawat meminta saya berehat.
"Waktu tidur saya juga tidak menentu kerana terkenangkan gelak tawa anak-anak saya sebab itu saya hendak balik ke Terengganu untuk seketika," katanya ketika ditemui di rumahnya di Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar hari ini.
Dalam kejadian Sabtu lalu, mayat anak sulung Siti Aishah, Noor Syafikah Nadia Rusdi, 14, ditemui tertiarap dalam keadaan separuh bogel di tepi sawah Alor Senibong pukul 3.45 petang selepas keluar dari rumah bersama dua adiknya, Puteri Nurul Akma, 3, dan Nur Izzati Husna, 12, kira-kira pukul 7.30 malam Jumaat lalu.
Mayat Puteri Nurul Akma dan Nur Izzati Husna pula ditemui kira-kira pukul 4.50 petang, Ahad lalu dalam terusan MADA Kampung Padang Petani, Langgar, kira-kira 3.5 kilometer dari mayat Nor Syafikah Nadia ditemui.
Polis semalam menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dari Arau, Perlis bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam itu.
Lihat Gambar dan Laporan disin: 16 Gambar menyayat hati 3 beradik dibunuh kejam |
"Saya baca semua akhbar dan saya serahkan kepada polis untuk menangkap penjenayah tersebut, sehingga hari ini saya tidak tahu siapa yang buat anak saya begini," katanya.
Nenek kepada tiga beradik itu, Robiah Daud, 59, pula berkata, dia dan ahli keluarga yang datang dari Terengganu akan tinggal beberapa hari lagi di rumah Siti Aishah dan Rusdi untuk menemani mereka yang masih bersedih.
"Saya dan ahli keluarga yang lain akan tinggal dua tiga hari lagi di sini. Siti Aishah perlu ditemani dan ramai perlu memberi semangat kepadanya. Bila ada ramai, tidaklah dia terasa sunyi dan teringatkan arwah anak-anaknya," jelasnya.
Bapa saudara kepada tiga beradik itu, Mazlan Ariffin, 51, pula berkata, dia yakin dengan kecekapan pihak polis untuk menangkap penjenayah yang telah membunuh tiga anak saudaranya itu.
"Polis negara kita antara yang terbaik dalam menyelesaikan kes-kes jenayah dan saya rasa tidak lama lagi penjenayah ini akan ditangkap.
"Saya dapat merasakan penjenayah tersebut mungkin orang yang mahir dengan selok-belok jalan di kampung ini serta dia tidak berseorangan ketika membunuh tiga anak saudara saya tetapi ini hanya andaian sahaja dan saya serahkan kepada kebijaksanaan polis untuk uruskan kes ini," jelasnya. -Utusan!
KONGSI
& Komentar
Tweet