Mohamed Affendi, 43, berkata isterinya yang merupakan kru penerbangan itu juga sempat memohon maaf atas segala kesalahannya dalam perbualan menerusi aplikasi Wechat itu.
"Saya terasa agak pelik tetapi saya menasihatkan dia semua orang akan pergi bertemu Allah, tiada siapa yang kekal, tapi biarlah kita pergi menghadap Allah dalam keadaan yang diredai," katanya kepada Bernama selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sebuah hotel di sini hari Sabtu.
Mohamed Affendi yang juga seorang guru agama berkata kali terakhir beliau bertemu dengan isterinya itu adalah sebelum penerbangannya ke Amsterdam.
Katanya, beliau maklum tentang insiden itu melalui abang Mastura juga merupakan kakitangan Malaysia Airlines (MAS).
"Saya memang rasa amat sedih sebab benda yang sebelum ini terjadi pada orang lain macam kes kehilangan pesawat MH370, tidak disangka kini berlaku pada saya," katanya.
Mohamed Affendi turut berharap agar jenazah isteri beliau dapat dibawa pulang supaya dapat disempurnakan sebaik mungkin.
Mengulas pertemuan dengan Perdana Menteri, Mohamed Affendi berkata beliau diberitahu besar kemungkinan jenazah akan dikenal pasti di kawasan kejadian.
"Pihak keluarga akan diberitahu secepat mungkin mengenai urusan di sana," katanya.
Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang terhempas di Ukraine malam semalam membawa 283 penumpang dari pelbagai negara dan 15 anak kapal.
Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Netherlands), Khamis dan dijadual tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) pada Jumaat.
-- BERNAMA
KONGSI
& Komentar
Tweet