Kerana inginkan majlis perkahwinannya lebih bermakna dan meninggalkan kenangan terindah buat tetamu serta bakal isteri, bekas juara Mentor musim kedua, Black Hanifah meminta komposer Ajai menciptakan sebuah lagu khas sempena hari bersejarahnya.
Lagu berjudul Si Merah Si Putih itu bakal dirakamkan Black bersama rapper, RJ, minggu depan.
“Ia bukan lagu cinta, tetapi lebih kepada lagu kahwin. Liriknya juga ditulis oleh Ajai dan mengikut cadangan, ia akan dijadikan single terbaru saya,” cerita pemilik nama penuh Hanifah Md Hanafiah pada majlis mengumumkan majlis perkahwinannya di ibu kota, semalam.
Hadir sama, Ketua Jabatan Pengurusan 8 Unit, Datin Jacynta Au Yong; dan ibu dan bapa Black Hanifah, Md Hanafiah Che Din dan Muslamah Othman.
Untuk majlis perkahwinannya nanti, 8 Unit bakal bertindak sebagai perunding perkahwinan untuk dua acara berasingan iaitu pernikahan pada 13 September dan resepsi (14 September). Kedua-dua majlis bakal diadakan di Zebra Square, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.
Pada 15 September pula Black akan mengadakan majlis terbuka besar-besaran buat peminatnya.
“Majlis itu akan diadakan di Padang PPRT Kerinchi bermula tengah hari. Saya mengadakannya di situ kerana mahu meraikan bekas jiran tetangga kami. Sebelum ini setiap kali berjumpa mereka, saya akan ditanya soalan mengenai majlis perkahwinan ini.
“Untuk majlis itu nanti, saya akan import tukang masak dari kampung saya di Baling, Kedah,” ujarnya.
Black Hanifah tetap keluar belanja sendiri untuk majlis kahwin 13 September |
Rahsia kos tajaan
Apabila penyanyi Aku Rindu Sayang Kamu ini mengumumkan majlis perkahwinannya bakal mendapat penajaan beberapa pihak tertentu, pasti ada yang akan bersuara mempertikaikan dari sudut kewangan.
Biasalah, mulut orang bukannya seperti mulut tempayan yang boleh ditutup. Ada saja yang tidak kena pada mata mereka. Justeru, tidak hairanlah jika Black Hanifah sedikit berahsia apabila ditanya soal kos dikeluarkan serta nilai tajaan diterimanya.
“Biarlah perkara ini saya seorang saja yang tahu. Tak mahu nanti, bila saya sebut nama sesuatu penaja, ada pihak lain yang terasa. Lagipun tidak semua perkahwinan saya ditaja. Saya juga mengeluarkan perbelanjaan sendiri.
“Apa yang boleh saya kongsikan, untuk majlis ini saya memang teruk bekerja. Sangat teruk,” ujar penyanyi berusia 26 tahun ini.
Bagaimanapun, sebelum ini Black Hanifah pernah mengadu ditipu sekitar RM30 ribu oleh perunding perkahwinan terdahulu apabila wang pendahuluan yang diberikan tidak langsung menampakkan hasil.
Mengenai wang hantaran diberikan kepada bakal isterinya, Naquia Yasirah Mohd Khairi, 28, dia berkata, perkara itu akan hanya didedahkan pada majlis pernikahan nanti.
Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 26 Januari lalu.
Panggil saya Black Hanifah
Ditanya mengapa gadis yang lebih mesra disapa Cira Khairi itu yang menjadi pilihan, Black memberitahu, kesanggupan menerima dirinya seadanya membuatkan dia terpaut sekali gus melamar wanita itu selepas dua bulan berkenalan.
“Kami diperkenalkan oleh teman wanita rakan saya. Ketika itu dia langsung tidak tahu saya seorang artis. Sikapnya yang sederhana dan boleh menerima saya sebagai seorang penyanyi membuatkan saya yakin, dialah wanita saya cari selama ini,” katanya yang sudah bersedia memikul tugas sebagai suami.
Pada majlis itu, penyanyi ini turut mengumumkan penjenamaan semula namanya dan kini, dia mahu dikenali sebagai Black Hanifah.
“Nama Black Hanifah ialah gabungan nama saya dalam industri seni dan juga kawan-kawan lama. Dengan nama itu nanti saya harap akan mendapat lebih keberkatan,” jelasnya. BH
KONGSI
& Komentar
Tweet