Lebih sebulan tragedi MH370, Haniza Bachik, 47, isteri kepada pengurus pengeluaran Freescale Semiconductor, Muzi Yusop, 50, penumpang MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan kru pesawat Malaysia Airlines (MAS) pada 8 Mac lalu, bertekad untuk meneruskan kehidupan demi anak-anak tercinta dengan menyifatkan insiden itu sebagai ketentuan Ilahi.
Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, dia reda dan tabah walaupun belum ada bukti pesawat MH370 yang hilang ditemui di Lautan Hindi, Perth, Australia.
“Walau apa pun yang berlaku saya kena kuat, tabah menghadapi dan teruskan hidup demi anak-anak. Ia mengingatkan bila saya sakit nanti siapa akan jaga saya dan anak-anak.
“Saya reda dengan ketentuan tuhan dan menganggap ini sebagai ujian yang perlu saya harungi,” luahnya dalam keadaan sebak ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Haniza berkata, sebagai umat Islam dia menerima tragedi MH370 8 Mac lalu sebagai qada dan qadar selain tidak berhenti berdoa mengharapkan akan ada hikmah di sebaliknya.
“Alhamdulillah, saya dan anak-anak kini semakin dapat menerima apa yang berlaku dan kami sekeluarga tidak berhenti berdoa yang terbaik kepada bukan saja buat suami malah semua penumpang MH370.
“Saya minta maaf kepada pihak media sebelum ini mungkin kerana saya masih belum sekuat hari ini dan masih belum dapat menerima keadaan.
“Mungkin kerana saya yang mengalami perkara ini dan hanya saya saja yang tahu bagaimana kesukaran untuk berdepan dengan situasi dihadapi. Anak-anak juga sudah besar dan mereka sudah matang untuk menerima hakikat ini,” katanya.
Katanya, selagi tidak jumpa bangkai kapal terbang itu dia menganggap suaminya masih hidup dan sentiasa berharap suaminya akan pulang dengan selamat,” katanya.
Haniza dan Muzi dikurniakan tiga orang anak masing-masing berusia lingkungan 15 hingga 24 tahun.
Muzi bekerja di kilang Freescale Semiconductor di Petaling Jaya menaiki pesawat MH370 untuk mengikuti kursus selama sebulan di China. -Metro
KONGSI
& Komentar
Tweet