Tuesday 8 April 2014

Datuk Bandar KL terang punca Parti Separuh Bogel dibatalkan

Posted By: TTO Admin - 8.4.14


KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah terima permohonan penganjur untuk mengadakan parti liar 'Topless Friday Beach Party' Jumaat ini, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Beliau berkata, sekiranya dimohon sekalipun, pihaknya tidak akan meluluskan sebarang program yang berunsur parti liar seperti itu di negara ini.

"Kita tak pernah lulus (permohonan)...Kita akan bagi surat tunjuk sebab kepada dia (penganjur) dan dia perlu jawab kenapa lesen mereka tak boleh ditarik.

"Dalam masa seminggu, jika mereka tak balas surat tunjuk sebab itu, kita akan ambil tindakan untuk batalkan lesen kelab itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.

Beliau berkata pada ketika ini, penganjur diarah membuang semua poster bagi tujuan promosi parti berkenaan.

Parti itu dijadualkan berlangsung Jumaat ini bermula 8 malam di sebuah kelab malam di Jalan Ampang dan meminta wanita mamakai bikini atau yang lebih seksi manakala kaum lelaki diminta memakai seluar pendek sahaja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Nor Azman Muhamad Yusuf yang dihubungi berkata polis akan mengambil tindakan tegas ke atas penganjur jika parti itu diteruskan.

"Ia dibuat secara haram memandangkan DBKL tidak pernah mengeluarkan sebarang kelulusan. Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur sekiranya mereka berdegil untuk meneruskan parti itu," katanya.

Nor Azman berkata, polis menerima maklumat mengenai penganjuran parti itu semalam daripada orang ramai yang melihat iklan parti itu tersebar secara meluas dalam laman sosial sejak beberapa hari lepas.

"Selepas terima maklumat dari orang ramai, kita terus menyiasat secara terperinci berkenaan pesta itu dan memanjangkannya kepada DBKL," katanya.

Sumber Jabatan Perancangan Korporat DBKL, pula menjelaskan semakan pihaknya mendapati memang tiada sebarang permohonan selain penganjur mempamer iklan tanpa kelulusan lesen pihkanya.

“Pihak kami akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada penganjur dan mereka diberi tujuh hari mengapa kelulusan lesen premis dan hiburan serta lain-lain lesen mereka tidak boleh dibatalkan kerana kesalahan ini.

“Pihak kami juga akan bertindak mengerahkan agar premis 'The Pool' ditutup tujuh hari mulai hari ini bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi syarat ditetapkan DBKL,” kata sumber itu.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, mengarahkan DBKL membatalkan permit penganjuran satu parti liar yang akan diadakan pada Jumaat ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Institut Kerjasama Islam Malaysia (Ikiam), Datuk Mustafa Idrus, berkata penganjuran parti itu adalah sesuatu yang mencemarkan budaya negara yang boleh melunturkan akidah anak muda di Malaysia.

“Penyerapan budaya seperti ini perlu dikecam dan pihak berkuasa wajib menghalang penganjuran sedemikian.

"Ia perlu dijadikan ikhtibar atas apa yang sudah berlaku pada Konsert Festival Future Music Asia 2014 (FMFA) di Stadium Nasional Bukit Jalil, bulan lalu.

“Manusia menjadi mulia kerana sifat kemanusiaannya yang berteraskan kekuatan fikiran dan akal yang dikurniakan kepadanya.

"Oleh itu, luruskanlah akal agar tidak dicemari dengan perbuatan yang boleh mengundang maksiat dan sebagainya,” katanya. -Bernama

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab