Pagi ini negara digegarkan dengan kematian seorang tokoh pembangkang dan peguam berprofil tinggi, YB Karpal Singh akibat satu kemalangan ngeri di lebuhraya PLUS. Pembantu peribadi beliau turut maut dan pemandu serta anak beliau turut cedera dalam kemalangan itu.
Berbagai-bagai reaksi terbit dari berita kematian ini. Ada yang simpati dan ada yang bersorak, bahkan mengambil peluang untuk meluahkan dendam politik dan kemarahan dengan lontaran kata-kata tidak bermoral seperti ‘mampus’ dan sebagainya ke atas mendiang. Lebih menyedihkan ialah ungkapan sebegitu dikeluarkan oleh golongan pemimpin Islam ‘bergelar’ yang menjadi cerminan rakyat.
Semua tindakan yang tidak enak ini amat menyedihkan kerana ia jelas membuka ruang fitnah terhadap kesucian agama Islam yang tidak mengajar umatnya bersikap begitu. Ramai juga yang membacakan hadis tertentu yang menegur keterlanjuran pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Lebih menyedihkan bila melihat perbalahan sesama sendiri dengan insiden ini.
TAKZIAH KEPADA KAUM KERABAT DAN KELUARGA MENDIANG
Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Karpal Singh. Tabahlah menghadapi kematian Mendiang. Kita semua juga akan mati bila sampai waktunya. Itu adalah ketentuan hidup.
Sementara itu, kepada pembaca bukan Islam yang terbaca artikel ini, kami pohon dengan rendah hati agar dapat memaafkan segelintir individu yang bertindak keterlaluan dan jauh terpesong dari norma agama Islam yang suci ini. Mereka ini telah bertindak keterlaluan mengikut nafsu, akibat ketaksuban mereka dalam urusan politik dan agama. Islam adalah agama sederhana dan tidak mengajar umatnya berlebih lebihan.
Sekalipun anda tidak mahu maafkan mereka, kami pohon agar kalian tidak memfitnah agama ini sewenang-wenangnya hanya dengan melihat perilaku beberapa individu yang tidak bermoral ini.
Kepada mereka yang terlanjur pula, kami seru agar jangan malu untuk tampil memohon maaf, demi menyelamatkan maruah agama kita. Ingatlah perbuatan mencela si mati bukan satu anjuran agama kita.
KEMATIAN ITU SATU KETENTUAN
Ini adalah satu pelajaran besar yang harus kita zikirkan. Setiap insan pasti akan mati dan kembali menemui tuhannya. Ada yang sengaja menempah mati, ada yang memang diketahui bakal mati dan ada pula yang tiba-tiba mati dengan mengejut.
Ingatlah bahawa kita tidak mungkin boleh hidup selama-lamanya. Dewasa ini, kita semua tahu bahawa ramai di antara kita yang terlalu keras hati dan berani melanggar perintah Allah. Hari demi hari kita dengar berbagai-bagai ungkapan yang terang-terang memperolok-olokkan perintah Allah. Ada yang sampai dengan angkuh dan terang-terangan mengaku sanggup masuk neraka pun. Oleh itu ambillah pelajaran dari peristiwa ini. Sentiasalah ingatkan mati agar hati kita yang keras boleh menjadi lembut semula.
Tidak kira samada kita orang biasa atau berpangkat, kaya maupun miskin, mati tetap akan menemui kita pada bila-bila masa saja. Kita baru sahaja diuji dengan tragedi misteri MH370 yang juga terkait dengan mati atau hilang secara ‘mengejut’. Di dalamnya ada si kaya yang sihat dan bijak pandai belaka.. Tan Sri Yahya yang kaya juga mati apabila helikopternya jatuh. Almarhumah Sultanah Johor juga mati kemalangan walaupun ada khidmat ‘rider’. Dan begitulah kematian menemui setiap yang hidup hari demi hari. Kita hanya menunggu giliran sahaja.
KEMATIAN NGERI DAN MENGEJUT
Apa yang menimpa mendiang Karpal Singh ini ada pelajaran bagi kita. Janganlah cuba tipu diri sendiri. Sebagai insan, kami yakin kita semua merasa simpati dengan keadaan jenazah akibat kemalangan ngeri yang dihadapi. Bahkan jika ia berlaku terhadap kucing sekalipun akan membuatkan kita merasa simpati, inikan pula manusia seperti kita.
Kami yakin bila melihat tragedi ini, jauh di sudut hati kita semua akan berdoa, “Ya Allah, jauhkanlah diriku dan saudara saudaraku dari mengalami tragedi seperti itu”. Itulah tindakan yang wajar bagi seorang manusia yang dewasa, beragama dan waras.. betul atau tidak? Jawablah sendiri dalam hati...
Oleh itu wajarkah atas alasan apa sekalipun kita lontarkan pelbagai kutukan dan cemuhan terhadap mendiang karpal Singh yang sudah mati?
AKHLAK DALAM PEPERANGAN
Kalau sekalipun kita bermusuh dengan mendiang, ingatlah bahawa Islam mengajar umat agar berakhlak tinggi (KHOLQIN AZIM) dan berprinsip dalam perjuangan. Waimah dalam peperangan sekalipun, jika musuh sudah tidak berupaya, atau sudah jatuh atau tidak bersenjata, kita dilarang membunuhnya. Pejuang Islam diperintahkan agar tidak mengikut nafsu. Harus sentiasa berada dalam asas basmalah, iaitu berbuat atas nama Allah, atas rahmat dan petunjuk Allah.
Islam melarang kita membunuh musuh sekalipun kita mampu jika ia kerana nafsu amarah dan dendam. Ini banyak diriwayatkan dan kita semua memang sedia tahu. Begitu mulia dan murni sekali adab peperangan dalam Islam. Jika musuh yang masih hidup sahajapun dilarang kita membunuhnya atas dasar nafsu, wajarkah kita melakukan 'attack' kepada musuh yang sudah mati?
Di sinilah terlihatnya kehebatan ilmu dan akhlak peperangan dalam Islam. Jangan kita bersikap bacul dan penakut. Hanya pandai bersorak dan mengejek-ngejek hanya setelah lawan kita tidak bernyawa seperti kanak-kanak berkelahi. Ingatlah, Abu Jahal dan tentera kafir musyrik yang mati terbunuh dalam perang Badar itu pun Nabi SAW ajarkan agar kita hormati. Jenazah Yahudi yang melintasi nabi SAW juga baginda berdiri untuk menghormati.. Inilah akhlak peperangan ajaran Nabi SAW.
KARPAL SINGH & POLEMIK HUDUD
Ramai sekali yang meluahkan kemarahan dan melepaskan dendam dengan menyorak musibah yang berlaku terhadap mendiang Karpal Singh ini dengan alasan beliau menentang terhadap perlaksanaan hudud. Ungkapan mendiang berbunyi “Nak tegakkan negara Islam, Nak laksanakan Hudud, langkah mayat kami dahulu” menjadi mainan bibir dan bahan ejekan.
Kami hormati pendapat TGNA yang mengatakan beliau terkilan dengan kematian Karpal Singh kerana belum dapat menjelaskan dan meyakinkan mendiang tentang Hudud. Walaupun kami bukan dari kalangan fanatik politik kepartian, namun ingin sekali membantu sedaya mungkin untuk menampakkan kepada ramai pemimpin bukan Islam yang menentang hudud termasuk mendiang. Ingin kami bantu menjelaskan tentang kehalusan dan kemurnian hudud. Malangnya kami belum berpeluang dan beliau sudah terlebih dahulu pergi.
Kita juga harus hormati ulasan dan tindakan berakhlak Tun mahathir, YAB perdana Menteri dan YAB TPM yang turut mengirim ucapan takziah kepada keluarga mendiang. Bahkan baru-baru ini, YAB PM turut menziarahi Datuk Harun Din di hospital setelah mendapat berita beliau sakit. Tindakan yang sama turut dilakukan apabila TGNA dan lain-lain pemimpin pembangkang diberitakan sakit. Beliau tidak kisah soal pertentangan ideologi politik, bahkan pernah ke tahap didoakan bersungguh-sungguh agar ‘pecah perutnya’ sekalipun.
Inilah antara akhlak yang harus kita contohi. Terserah samada mereka ini ikhlas atau ada udang di sebalik batu. Itu bukan urusan kita. Yang penting ia kelihatan sangat murni dan mampu menaikkan imej Islam di mata dunia. Ia berbeza sekali dengan tindakan tidak bermoral seperti yang kita lihat sepanjang hari ini yang terang-terang boleh menjadikan agama kita dicerca dan dibenci.
Ini juga asas hudud, yang bermaksud ‘batas’ yang harus kita laksanakan dahulu dalam diri kita. Kita harus mampu kendalikan gejolak nafsu amarah dan dendam kita demi meletakkan kemurnian dan kesucian agama di tempat teratas. Dengan akhlak Muslim yang baik akan membuatkan manusia berfikir dan terpikat. Itulah kaedah menawan mereka. Bukan dengan kekerasan, tetapi dengan penjelasan ilmiah dan uswah akhlak yang baik dan halus (WALYATALATTOF).
KARPAL SINGH, KEPIMPINAN DAN PRINSIP HIDUPNYA
Karpal Singh, sepertimana juga TGNA, Lim Kit Siang, Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi dan beberapa pemimpin lain adalah antara calun yang tidak pernah atau jarang sekali kalah dalam pilihanraya. Inilah kredibiliti kepimpinan yang ada pada beliau dan pemimpin sepertinya. Fenomena ini tidak sehebat beberapa pemimpin lain, termasuk yang berjawatan menteri besar yang begitu mudah tergolek dalam pilihanraya.
Kami tidak mahu mengulas panjang dalam hal ini. Namun jika kita berfikiran waras, kita harus pelajari apakah tabiat hidup serta prinsip kepimpinan pemimpin seperti ini. Mereka dihormati dan disayangi oleh rakyat di bawah pimpinan mereka serta disegani oleh rakan dan lawan. Lihat cara mereka berhujjah dengan ilmu, tidak merapu macam sebahagian dari pemimpin kita. Lihat juga pejabat mereka, cara mereka berkhidmat, lihat gaya hidup mereka yang bersederhana, lihat keluarga mereka dan sebagainya.
Faith VS Respect
KESIMPULAN
Setiap apa yang berlaku, setiap kejadian tuhan itu tiada yang batil walaupun kita melihatnya sebagai batil. Lihatlah dan nilailah ia dengan ilmu, dengan sahsiah diri dan siyyasah syariyyah yang mendalam. Lihatlah semuanya dengan mata hati seperti ‘siapa kita’, jangan dilihat ‘seperti adanya’.
Janganlah sekali-kali kita bertindak mengikut nafsu sehingga ia membuka ruang fitnah yang berat terhadap agama kita yang suci murni ini. Kawallah nafsu dan kendalikan hati dengan sebaik baiknya. Berfikir dan berbasmalah lah dahulu sebelum bertindak dan berkata-kata.
Perhatikan dasar-dasar dakwah dan sikap Muslim terhadap lawan dalam surah 16. An-Nahl ini:
125. “Serulah kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.
126. Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar.
127. Bersabarlah dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap tipu daya mereka.
QS: 3. Ali 'Imran 190, 191.
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi: "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.
OLEH: WARGA PRIHATIN
KONGSI
& Komentar
Tweet