Tuesday 11 March 2014

Saat ditimpa musibah…apa yang perlu kita lakukan sebagai seorang Mukmin?

Posted By: TTO Admin - 11.3.14

Hidup ini adalah untuk diuji oleh Allah SWT. Perlu diingat, ujian bukan hanya tertumpu kepada perkara yang dianggap sebagai kesusahan sahaja bahkan ianya meliputi kesemua perkara yang kita hadapi ketika hidup di dunia ini. Kesenangan, kesihatan yang baik, kekayaan, kepayahan, kesengsaraan, kesakitan, ketidaktentuan dalam hidup semuanya adalah ujian. Segala ujian tersebut adalah untuk memungkinkan kita menikmati sesuatu yang lebih baik daripada apa yang dinikmati di dunia ini iaitu syurga Allah SWT di akhirat nanti.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melain untuk beribadat kepadaKu.”
(Surah adz-Zaariyaat : 56)
Diperintahkan supaya kita beribadat kepada Allah seperti solat, puasa, zakat dan haji juga adalah ujian kepada kita. Sejauh manakah kita dapat melaksanakannya..? Ujian bagi kita..

Musibah juga adalah ujian..Apakah yang dikatakan sebagai musibah?? Musibah dalam pentafsiran para ulama ialah“sesuatu yang menyakitkan seseorang walaupun ianya terlalu kecil”.

Jadi, segala perkara yang menyakitkan seseorang individu, khalayak atau sesiapa sahaja boleh dikira sebagai musibah walau sekecil mana sekalipun hatta tertusuk jarum sembilu.

Sebagai seorang muslim lagi mukmin, apabila ditimpa musibah seharusnya kita redha dan pasrah terhadap apa yang berlaku. Kita tidak boleh semata-mata menyalahkan takdir. Kita seharusnya mencari jalan penyelesaian untuk keluar daripada musibah yang melanda kita.

Segala urusan untuk mencari jalan penyelesaian sewajarnya dilakukan dengan penuh sabar dan bersolat seperti mana yang terkandung dalam firman Allah SWT:

“Mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan mengerjakan solat..”
(Surah al-Baqarah ; 153)
Dalam satu kisah yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim ada menceritakan tentang tiga orang terperangkap dalam gua batu yang memungkinkan mereka tidak boleh keluar lagi daripadanya melainkan dengan izin Allah SWT. Mereka bertiga akhirnya bertawassul dengan amal kebaikan. Seorang daripada mereka bertawassul dengan berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, individu yang kedua bertawasul dengan keimanannya meninggalkan zina walaupun terhidang dengan wanita cantik manakala individu ketiga bertawassul dengan sifat amanah kepada orang lain. Akhirnya pintu gua tersebut terbuka dengan izin Allah SWT.

Sebuah kisah lain yang seharusnya dijadikan sandaran dan pedoman ketika musibah melanda kita ialah kisah Ummu Salamah RAnha seorang ‘Janda Arab’. Beliau telah kehilangan suaminya Abu Salamah RA yang telah gugur syahid semasa Perang Badar. Ummu Salamah sangat berdukacita di atas musibah yang melandanya kerana berfikiran mana mungkin untuk mencari pengganti seperti Abu Salamah yang baik pekertinya. Rasulullah SAW mengajarkan sebaris doa kepadanya untuk diamalkan. Doa tersebut ialah:


Ya Allah, jadikanlah pahala kepada musibahku ini dan gantikanlah sesuatu yang lebih baik daripadanya”.

Ummu Salamah RAnha mengamalkan doa tersebut dan tidak lama selepas itu Abu Bakar RA datang untuk melamarnya tetapi Ummu Salamah telah menolak kerana merasakan Abu Salamah lebih baik daripada Abu Bakar RA. Kemudian Rasulullah SAW sendiri datang melamarnya dan Ummu Salamah juga seakan menolak lamaran Baginda tetapi Rasulullah SAW bertanyakan kepadanya: “Di antara aku dan Abu Salamah, yang manakah yang lebih baik?” Ummu Salamah menjawab: “Sudah tentulah engkau wahai Rasulullah”. Ummu Salamah pun menerima lamaran Baginda SAW. Jelas, Ummu Salamah mendapat pengganti yang lebih baik daripada Abu Salamah iaitu Rasulullah SAW.

Kesimpulan, setiap ruang lingkup kehidupan kita adalah untuk diuji oleh Yang Maha Esa. Kesenangan dan kesusahan adalah ujian. Musibah adalah ujian. Apabila ditimpa musibah seharusnya kita kembali kepada Allah SWT, pasrah, mengadu kepadaNya, bersabar, mengerjakan solat, berdoa seperti yang digariskan oleh Baginda SAW dan seterusnya kita berserah serta bertawakkal. Yakinlah bahawasanya ada hikmah di sebalik setiap kejadian. Pasti ada sinar di hujungnya. Janganlah kita menjadi seperti masyarakat jahiliyyah bila mana diuji dengan sesuatu musibah mereka akan meraung, melolong, meratap serta menyalahkan orang lain.

Wassalam..

Oleh: Abu Amjad

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab