Monday, 17 November 2014

Suami mangsa MH370 terpaksa kahwin di sempadan Thailand

Posted By: TTO Admin - 17.11.14

PETALING JAYA: Status penumpang dan kru MH370 yang hingga kini masih belum dimuktamadkan bukan sahaja menyebabkan kepiluan kepada waris mangsa, malah ia turut menjadi 'penghalang' untuk mereka meneruskan kehidupan.

Antara masalah yang didepani waris mangsa terlibat ialah untuk membina rumahtangga dengan pasangan baharu.

mStar Online difahamkan, keadaan ini dialami sekurang-kurangnya seorang waris mangsa apabila dia terpaksa bernikah di negara jiran, sebelum mendaftarkan perkahwinannya di negara ini.

Malahan, pasangan ini juga mungkin berdepan tindakan undang-undang kerana mengamalkan poligami tanpa kebenaran kerana isteri baharunya bermadukan seseorang yang tidak diketahui statusnya sama ada meninggal dunia atau ghaib.

Sumber memberitahu mStar Online, suami salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak Mac lalu terpaksa memfailkan permohonan daftar nikah untuk berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah awal November.

Bapa kepada empat anak itu menghadapi kesukaran kerana tidak dapat mengemukakan surat kebenaran isterinya untuk membolehkan dia bernikah kali kedua.

"Sijil kematian isterinya juga tidak dikeluarkan, jadi sukar untuk bernikah dalam negara, oleh itu pasangan itu ke Songkla, Thailand dan kini memfailkan permohonan daftar nikah untuk berpoligami," katanya kepada mStar Online.

Menurut sumber itu lagi, lelaki berkenaan mengahwini seorang wanita yang berasal dari Muar, Johor dan bekerja di ibu negara.

"Majlis meraikan pasangan pengantin baharu ini juga dilangsungkan secara kecil-kecilan di sebuah homestay di Langat bulan lalu," kata sumber itu.

Isteri lelaki terbabit merupakan antara 239 penumpang yang berada dalam pesawat MH370 yang sedang dalam perjalanan ke Beijing apabila hilang awal pagi pada 8 Mac sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Analisis satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat ialah di selatan Lautan Hindi, barat Perth, Australia.

Bagaimanapun, usaha mengesan pesawat itu terus buntu kerana tiada sebarang bukti ditemui walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) diperluaskan.

Baru-baru ini, seorang ahli Parlimen meminta mufti dan pihak berwajib mengeluarkan fatwa bagi menjelaskan kekeliruan dialami waris penumpang dan kru pesawat MH370 yang masih hilang sehingga kini.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, fatwa itu perlu untuk mencari penyelesaian dan tidak timbul lagi kekeliruan dari segi harta, wasiat, insurans dan sebagainya berkaitan anggota keluarga mereka.

Ikuti penjelasan pihak mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung situasi yang menimpa waris penumpang MH370 ini, Selasa. -mStar

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab