Saturday 18 January 2014

Proton Suprima S Super Premium dilancar dengan harga RM88 ribu (Gambar)

Posted By: TTO Admin - 18.1.14


MELAKA – Proton Holdings Bhd (Proton) hari ini melancarkan varian baharu Proton Suprima yang diberi nama Suprima S Super Premium, yang menampilkan ciri-ciri lebih ‘sporty’ berbanding varian terdahulu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Proton Datuk Lukman Ibrahim berkata varian ketiga yang menampilkan dua warna iaitu ‘Fire Red’ dan ‘Solid White’ itu dijual pada harga RM87,929.45.

“Suprima S Super Premium yang merupakan produk terbaik Proton, dilengkapi pelbagai ciri yang lebih komprehensif dari segi pencapaian, gaya, keselamatan, pemanduan dinamik dan canggih,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran varian tersebut di Karnival Jualan Proton di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di sini hari ini.

Beliau berkata Suprima S Super Premium dilengkapi rim ‘sporty’ 17 inci, kerusi kulit dan body kit R3 dan enjin 1.6 liter turbo tujuh kelajuan serta ciri pemanduan dan pengendalian Lotus yang dinamik.

Katanya Proton Suprima S Super Premium turut dilengkapi Teknologi HPF (Hot Press Forming) yang memberi perlindungan yang lebih baik, enam beg udara selain dianugerah penarafan keselamatan lima bintang Program Penilaian Kereta Baharu Australiasia (ANCAP).

Lukman berkata dengan pelancaran varian terbaharu itu, pembeli tidak perlu membuat ubah suai pada kereta mereka untuk memiliki kenderaan yang lebih sporty dan memberi nilai pulangan yang lebih berbanding varian sebelumnya.

Beliau berkata Proton menyasarkan untuk menjual 750 unit varian itu setiap bulan, sama seperti dua varian terdahulu iaitu ‘executive’ yang dijual pada harga RM76,338 dan premium RM79,638.

“Kita telah berjaya menjual lebih 2,000 unit varian ‘executive’ dan premium sejak dilancarkan pada Ogos tahun lepas,” katanya.

Diskaun RM1,888 diberikan kepada pembeli yang membuat tempahan pada Karnival Jualan Proton yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, dan pengunjung boleh memandu uji varian terbaharu itu di karnival tersebut.- BERNAMA




Lihat lagi gambar disini

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab