Temerloh: Seorang peragut bersembunyi selama tiga jam dalam longkang selepas terjatuh dari motosikal ditunggang abangnya dipercayai akibat panik kerana dikejar orang ramai yang menyedari perbuatan mereka meragut seorang wanita di Lorong Melor di Jalan Mok Hee Tiang di Mentakab di sini, kelmarin.
Remaja berusia 17 tahun itu dikatakan terperangkap bersama beg diragut mengandungi wang tunai RM19,000, terpaksa bersembunyi dalam longkang besar berhampiran tempat kejadian sebelum diberkas polis.
Dalam kejadian jam 3.45 petang kelmarin, mangsa yang berkerja sebagai penyelia sebuah restoran makanan segera dalam perjalanan memasukkan wang ke sebuah bank berhampiran.
Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, sebaik mangsa yang berusia 22 tahun melalui lorong itu, seorang daripada suspek menolak dan merampas beg dibawanya menyebabkan mangsa menjerit meminta tolong.
Beliau berkata, jeritan mangsa menyebabkan suspek dikejar orang ramai sebelum seorang daripadanya terjatuh dari motosikal dan terpaksa menyorok di dalam longkang manakala seorang lagi melarikan diri.
“Polis berjaya menahan suspek pertama yang bersembunyi dalam longkang besar bersama beg berisi wang berkenaan manakala suspek kedua ditahan di kediamannya di Taman Seri Layang, Mentakab dekat sini pada jam 12.30 tengah malam,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Menurutnya, kedua-dua suspek adik-beradik itu dikatakan tahu pergerakan mangsa kerana pernah bekerja di restoran berkenaan sebelum berhenti dua minggu lalu.
“Mangsa luka dan calar di lengan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Mentakab,” katanya.
Abdul Aziz berkata, polis turut merampas motosikal, sarung tangan, topeng dan sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah ragut.
Sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/3jamsorokdalamlongkang/Article
KONGSI
& Komentar
Tweet