Tuesday, 14 January 2014

5 Gambar suami isteri maut dilanggar komuter dekat jalan Reko

Posted By: TTO Admin - 14.1.14

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri warga emas maut apabila dilanggar tren komuter ketika melintas landasan berhampiran Stesen KTM Komuter di Jalan Reko, Kajang kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Pengurus Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Siti Badariah Wan Hanafi, ketika dihubungi, berkata suami isteri itu dipercayai menceroboh kawasan landasan untuk memintas jalan ke rumah mereka yang terletak 200 meter dari tempat kejadian.

"Kedua-duanya mati di tempat kejadian, bagaimanapun kejadian tersebut tidak menjejaskan perkhidmatan komuter," katanya.



Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata mangsa dikenal pasti Md Nor Lian, 70, dan isterinya Noriah Mat Ani, 65.

"Pasangan itu tinggal di rumah sendiri di Kajang Utama dan disara oleh anak-anaknya," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Missan Bennu berkata kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah selepas diseret sejauh tiga kilometer sebelum terpelanting ke dalam sebuah parit.

"Pemandu keretapi tersebut sudah membuat laporan polis sejurus menyedari melanggar kedua-dua mangsa itu," katanya sambil menambah tren komuter itu dalam perjalanan dari Seremban ke Rawang.
Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang terbabit dalam operasi membawa keluar mayat mangsa dan dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat. - BERNAMA

Sumber gambar: Twitter, FB Page Bandar Baru Bangi, Mymetro

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab