Thursday 12 September 2013

Gambar bayi perempuan nazak dipercayai didera pengasuh

Posted By: TTO Admin - 12.9.13

Klang - Seorang bayi perempuan berusia enam bulan mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dipercayai menjadi mangsa dera ketika berada di rumah pengasuhnya di Jalan Teluk Gadung Kecil di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop berkata bapa mangsa berusia 28 tahun membuat laporan polis dengan mendakwa anaknya mengalami keretakan di tengkorak kiri, pendarahan otak dan lebam pada dahi serta kedua-dua lututnya.

"Mangsa yang kini sukar untuk bernafas sedang dirawat di unit rawatan rapi wad kanak-kanak di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohamad berkata sepanjang empat bulan dijaga pengasuh itu, bayi itu pernah mengalami luka melecet di dahi sebelah kiri akibat bergesel dengan karpet ketika cuba meniarap selain kesan lebam di dahi akibat terkena botol susu.

Beliau berkata bapa mangsa diberitahu mengenai keadaan anaknya itu oleh pengasuh tersebut ketika beliau berada di Pulau Indah semalam atas urusan kerja.

Beliau juga berkata pengasuh berkenaan telah dipanggil untuk direkodkan kenyataannya dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. - BERNAMA

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab