Thursday 24 October 2013

KDN batal lesen Syarikat Kawalan Keselamatan yang menggaji pembunuh pegawai bank

Posted By: TTO Admin - 24.10.13


PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan lesen syarikat kawalan keselamatan yang menggaji pengawal keselamatan terlibat dalam kejadian menembak mati pegawai operasi Ambank di Jalan USJ Central 2, Subang Jaya, semalam.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Keselamatan) KDN, Datuk Alwi Ibrahim berkata, syarikat berkenaan didapati gagal mematuhi syarat dan peraturan pengendalian serta pengurusan agensi persendirian di bawah Akta Agensi Persendirian 1971.

"Kementerian mendapati syarikat kawalan keselamatan itu mempunyai lesen untuk menggaji pengawal keselamatan yang menggunakan senjata api tetapi pengawal keselamatan (suspek) itu tidak ada lesen membawa senjata api.

"Selain itu, syarikat kawalan keselamatan itu baru mengemukakan permohonan untuk membuat tapisan keselamatan bagi pengawal keselamatan terbabit (suspek) pada hari ini. Sehubungan itu, KDN memutuskan untuk membatalkan lesen syarikat berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam kejadian 6 petang semalam, pegawai operasi Ambank Norazita Abu Talib, 37, ditembak di muka oleh seorang pengawal keselamatan berusia 37 tahun selepas beliau membuka pintu bilik kebal bersama rakan setugasnya.

Alwi berkata, polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti identiti dan latar belakang suspek yang merupakan seorang pengawal keselamatan gantian di bank berkenaan.

"Setakat tengah hari tadi, suspek belum ditahan,” katanya. - Bernama

Baca Lagi: 9 Gambar tragis Pegawai Bank maut ditembak pengawal keselamatan

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab