Sunday 20 October 2013

3 Gambar Polis tembak kereta suspek pecah rumah sehingga terbabas

Posted By: TTO Admin - 20.10.13




JOHOR BAHRU – Seorang penjenayah yang disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah berjaya ditahan selepas dikejar lebih lapan kilometer dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, semalam.

Bagaimanapun, rakannya yang turut terlibat dalam kejadian kejar-mengejar tersebut berjaya melarikan diri.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian itu, anggota unit peronda terserempak sebuah kereta jenis Toyota Vios dan pacuan empat roda jenis Mitsuhishi Triton dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah bank sekitar Jalan Meranti, Taman Sentosa.

Menurutnya, ketika anggota polis menghampiri kereta pacuan empat roda berkenaan, tiba-tiba ia memecut ke arah Jalan Tampoi berhampiran Kampung Ubi selain turut melanggar kon yang dipasang polis.

“Anggota kita mengejar pacuan empat roda sehingga ke Jalan Tampoi, namun kenderaan berkenaan masih enggan berhenti.

“Kemudian, kenderaan itu melanggar bahagian hadapan kereta polis apabila cuba melarikan diri ketika sampai di jalan mati di Jalan Hasil, kawasan perindustrian Tampoi,” katanya.

Menurutnya, anggota polis sekali lagi cuba menghampiri penjenayah yang masih berada dalam kenderaan mereka.



"Namun kenderaan suspek didapati cuba merempuh anggota polis berkenaan menyebabkan anggota kita terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek.

“Tembakan dilepaskan dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa, sehingga menyebabkan kenderaan suspek terbabas ke tepi jalan raya.

“Pemandu kenderaan berusia 24 tahun tersebut berjaya ditahan, manakala seorang lagi rakannya sempat melarikan diri ke arah tebing jalan raya menuju ke Lebuh raya Pasir Gudang,” katanya.

Dia berkata, hasil siasatan awal mendapati, enjin dan casis kenderaan pacuan empat roda yang digunakan suspek dilaporkan hilang di kawasan Taman Ungku Tun Aminah pada 14 Oktober lalu.

“Penjenayah yang ditahan tidak terkena tembakan, namun mengalami kecederaan di bahagian mulut dipercayai akibat kemalangan yang berlaku.

“Hasil pemeriksaan kita menemui dua pasang sarung tangan, dua unit ‘walkie-talkie’ serta segugus anak kunci rumah dan beberapa dokumen di dalam kenderaan suspek,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. -Sharian

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab