Hari ini viral mengenai luahan hati seorang guru lelaki yang bakal bercerai dengan isterinya bulan ini. Beliau menyalahkan Kementerian Pelajaran Malaysia kerana terpaksa berjauhan mengajar di pedalaman Sarawak selama 3 tahun.
Masalah yang dihadapi oleh guru tersebut bukanlah terpencil, malahan saban tahun guru-guru terutama yang sudah berumahtangga dan terpaksa berjauhan dengan keluarga masing-masing turut mengeluh dengan permohonan pertukaran sekolah yang seringkali gagal walaupun telah merayu berkali-kali.
Oleh kerana setiap tahun juga bilangan yang memohon bertambah, maka masalah ini sukar diselesaikan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah di Kementerian Pelajaran Malaysia. KPM hanya mampu memberikan maklumbalas bahawa penempatan dan pertukaran guru ini dibuat berasaskan keperluan perkhidmatan dan kekosongan opsyen dan keutamaan peluang diberikan kepada guru yang telah lama berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Namun jawapan itu tidak dapat dihadam sepenuhnya oleh majoriti guru apabila banyak kes-kes yang berlaku di sebaliknya. Cerita-cerita tersebar seperti guru yang baru sahaja ditempatkan di sebuah sekolah, tidak sampai setahun mengajar namun berjaya dalam permohonannya untuk menukar sekolah. Maka, atas sebab itu timbulnya perkataan yang tidak enak bermain di bibir guru-guru iaitu "Kabel".
"Kabel" membawa maksud orang perhubungan atau kenalan yang dapat memberikan jalan singkat tanpa melalui saluran yang betul. Orang perhubungan ini boleh jadi orang politik atau pegawai serta kakitangan yang berada di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) itu sendiri.
Ramai yang menyalahkan "Kabel" kerana mengganggap peluang pertukaran guru yang sememangnya layak terhalang kerana telah diisi oleh guru-guru yang menggunakan "Kabel" masing-masing.
Menurut Kelab Intelek dan Pendidikan Malaysia, terdapat "tangan-tangan ghaib" yang memecah sistem pertukaran sedia ada. Jika dakwaan ini benar, Kementerian perlu melihat kepada perkara ini dan tampil memberikan penyelesaian segera.
Jangan hanya disebabkan "Kabel" ini, hidup seorang guru tidak tenteram, rumahtangga porak peranda, si anak tidak sempat melihat pemergian ibunya, dan akhirnya motivasi mengajar seorang guru hilang sepenuhnya. Maka, anak-anak kitalah yang bakal menerima kesannya.
Ikuti penderitaan salah seorang guru daripada beribu yang mengalami nasib yang sama:
KONGSI
& Komentar
Tweet