Monday, 4 November 2013

Gaji Minimum dilaksana mulai 1 Januari 2014

Posted By: TTO Admin - 4.11.13


LABUAN: Setelah ditangguh dan diberi kelonggaran sejak Januari tahun ini, gaji minimum RM900 sebulan di Semenanjung Malaysia dan RM800 di Sabah, Sarawak serta Labuan, akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata kerajaan mengambil kira semua perkara yang boleh menjejaskan pelbagai sektor di negara ini sebelum melaksanakan dasar berkenaan.

“Sebahagian besar majikan daripada hampir semua sektor di negara ini memberi penjelasan tentang ketidakmampuan mereka (melaksanakan dasar itu) dan meminta penangguhan, maka kami menangguhkannya hingga 31 Disember tahun ini.

“Gaji minimum akan dikuatkuasakan sepenuhnya di seluruh negara mulai Januari tahun depan,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sijil kepada lepasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini semalam.

Riot berkata pelaksanaan gaji minimum ini terpakai bagi semua majikan, tanpa mengira lokasi perniagaan mereka.

“Sama ada perniagaan yang mereka jalankan di bandar atau di mana saja, mereka tidak terkecuali daripada melaksanakannya,” katanya.

Riot berkata pelaksanaan dasar itu terpaksa ditangguh kerana beberapa sebab, termasuk berkaitan kemampuan kewangan syarikat atau majikan.

Perintah Gaji Minimum 2012 sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari 2013, dengan kadarnya dikaji setiap dua tahun.

Bagaimanapun, ia ditangguh bagi memenuhi permintaan 400 syarikat agar tarikhnya ditunda kepada 31 Disember.

Pelaksanaan dasar gaji minimum itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 April tahun lepas dan diwartakan pada 16 Julai.

Riot berkata ia ditangguhkan berikutan kajian teliti oleh Majlis Perundingan Gaji Negara.

“Kajian dibuat mengikut kes… dan penangguhan serta kelonggaran hanya diberi selepas majlis itu yakin terdapat keperluan untuk berbuat demikian,” katanya.

Menurut beliau setakat ini, tiada permintaan secara bertulis diterima daripada pengusaha tanaman sawit untuk menangguhkan pelaksanaan dasar itu berikutan penurunan harga minyak sawit dunia.

“Kebanyakan pekerja dalam sektor perladangan adalah warga asing. Rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung tidak berminat bekerja dalam sektor ini… sama ada kita suka atau tidak, inilah isu yang terpaksa kita hadapi,” katanya.

Laporan sebelum ini memetik Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Zainal Rahim sebagai berkata sejumlah 247 syarikat mikro dan 743 syarikat besar memohon penangguhan pelaksanaan dasar itu.

Syarikat mikro merujuk kepada sesebuah syarikat yang mempunyai tidak lebih lima pekerja.

Syarikat yang tergolong dalam kategori ini sepatutnya melaksanakan dasar berkenaan mulai semalam.

Syarikat besar yang mempunyai lebih 150 pekerja dalam bidang perkilangan atau lebih 50 pekerja dalam bidang pembuatan perlu mula membayar gaji minimum pada 1 Januari tahun ini. — Bernama

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab