Sunday 18 May 2014

Insiden MH370: Ada pihak sedang sembunyikan sesuatu - Tun Mahathir

Posted By: TTO Admin - 18.5.14

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yakin syarikat Boeing dan agensi-agensi tertentu mempunyai keupayaan untuk mengambil alih "kawalan tanpa gangguan" daripada kapal terbang komersial.

Katanya pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 merupakan salah satu daripada kapal terbang yang diambil alih.

"Sangat jelas Boeing dan agensi tertentu mempunyai keupayaan untuk mengambil alih "kawalan tanpa gangguan" penerbangan komersil yang mana MH370 salah satu darinya.

"Boleh atau tidak juruterbang MH370 hilang kawalan setelah seseorang secara langsung atau dari jarak jauh mengaktifkan alat untuk merampas kawalan pesawat itu," katanya dalam tulisan terbaru di blognya.

Katanya, dengan alasan tertentu, media tidak akan melaporkan apa-apa melibatkan Boeing atau Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika.

Dr Mahathir juga mendesak Boeing menjelaskan berkaitan apa yang dinamakan sebagai sistem 'pendaratan automatik anti keganasan'.

"Tidak dapat saya bayangkan juruterbang melakukan pendaratan di lautan yang bergelora dan secara senyap tenggelam bersama pesawat itu," katanya.

Perdana Menteri paling lama berkhidmat itu juga yakin ada "seseorang sedang menyembunyikan sesuatu" dalam misteri kehilangan MH370 ini.

"Adalah tidak adil kalau MAS dan Malaysia dipersalahkan," katanya lagi.

Dalam tulisan yang bertajuk 'Boeing Technology - What Goes Up Must Come Down', Dr Mahathir berkata apa yang naik pasti akan turun.

"Mereka boleh mendarat dengan selamat atau terhempas. Tetapi kapal terbang tidak boleh hilang begitu saja," tambah beliau.

Dr Mahathir juga berpendapat adalah membuang masa dan wang untuk mencari serpihan, tumpahan minyak atau mengesan bunyi dari kotak hitam.

"Ini bukan kemalangan luar biasa selepas kehabisan minyak.

"Pesawat ini berada di satu tempat, mungkin tanpa logo MAS,"katanya.

Tulisan Dr Mahanthir ini memberikan teori konspirasi baru terhadap misteri kehilangan penerbangan MH370 yang telah masuk hari ke 72 hari ini.

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab