Putrajaya: Sepasang suami isteri terkejut apabila mendapati bayi mereka berusia empat bulan meninggal dunia ketika mengambilnya dari TASKA di Desa Pinggiran Putra, semalam.
Lebih menyayat hati kejadian itu langsung tidak disedari pengasuh yang menyangka bayi berkenaan sedang tidur nyenyak.
Ibu bayi itu, Rossmaine Sulaiman, 38, berkata dia dan suaminya mengambil anaknya, Azeem Rifhan kira-kira jam 2.15 petang selepas waktu bekerja.
“Ketika mengambilnya dari tangan pengasuh, saya dapat rasakan tangan keras dan langsung tidak ada tindak balas, manakala tubuhnya sejuk.
“Melihat kejadian itu, saya dan suami bergegas ke Hospital Putrajaya dalam usaha menyelamatkan anak kami,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Dia berkata, sepanjang perjalanan, mereka cuba meletakkan tangan di atas dada Azeem namun tiada sebarang tindak balas, malah doktor cuba memberi bantuan pernafasan sebaik tiba di hospital tetapi gagal menyelamatkan bayi terbabit.
“Segalanya berlaku dengan pantas. Bayangkan, saya menghantar anak ke taska dalam keadaan sihat tapi akhirnya menerima tubuhnya yang kaku,” katanya.
“Saya menangis hingga lembik kerana tidak menyangka Azeem pergi begitu cepat. Baru semalam dia bergelak ketawa ketika bermain bersama abang-abangnya, pemergiannya pasti akan dirindui,” katanya sebak.
Rossmaine berkata, dia cuba menghubungi pemilik taska berkali-kali namun taliannya dimatikan, sebelum suami pemilik taska itu menghubungi bagi bertanya dengan lebih lanjut. “Suami kepada pemilik taska berjanji untuk datang ke sini (hospital) tapi sampai sekarang (malam tadi) kelibatnya belum muncul”, katanya.
Menurutnya, dia amat kesal dengan kejadian yang menimpa anaknya kerana pihak taska seolah-olah lepas tangan dan tidak mengambil berat terhadap anak-anak yang dijaga mereka hingga langsung tidak menyedari kematian bayinya.
Lebih menyedihkan, katanya hanya dua pengasuh yang bekerja di situ untuk menjaga puluhan bayi dan kanak-kanak.
Dia berkata, suaminya sudah membuat laporan di Balai Polis Dengkil, petang semalam.
Menurutnya, bayi berkenaan disembahyang dan dikafankan di HPj sebelum jenazahnya dibawa pulang ke Kelantan untuk dikebumikan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Deputi Superintendan Zaldino Zaludin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu. -BH
Baca lagi: "Henti tuding jari ke atas taska" Johan, pemilik Taska di Desa Pinggiran Putra
KONGSI
& Komentar
Tweet