Mayat mangsa yang dikenali sebagai Mohd. Firul Azhar, 5, dan Mohd. Nur Jihad, dua setengah tahun ditemui dalam keadaan tertiarap dengan jarak saling berdekatan antara satu sama lain di bawah katil dalam bilik mereka.
Difahamkan, ketika kejadian kira-kira pukul 12.44 tengah hari itu hanya dua beradik tersebut berada di rumah.
Mereka yang masing-masing merupakan anak ketiga dan keempat daripada lima beradik berehat di ruang tamu dengan keadaan rumah berkunci setelah ayah mereka, Tamrin Sumaila, 31, pergi menunaikan solat Jumaat, sementara si ibu keluar bekerja.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Lahad Datu, Mohd. Apandi Mahmood berkata, dua jentera dengan kekuatan seramai tujuh anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pukul 12.45 tengah hari.
Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati rumah terbabit hangus 95 peratus sebelum api berjaya dipadam sepenuhnya pukul 1.34 petang.
"Pemeriksaan ke atas rumah tersebut menemui dua kanak-kanak lelaki rentung keseluruhan badan dalam keadaan tertiarap di bawah katil bilik mereka.
"Bagaimanapun, jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Tamrin yang pulang ke rumah selepas menunaikan solat Jumaat tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat dua jasad anaknya rentung keseluruhan badan.
Dia yang dilihat lengkap berpakaian jubah dan berkopiah hanya mampu menekup mukanya setiap kali air matanya mengalir, malah tidak mampu untuk berbicara kerana terlalu sedih.
Dalam pada itu, salah seorang ahli keluarga yang enggan namanya dinyatakan berkata, ketika kejadian itu berlaku, hanya kedua-dua mangsa berada di dalam rumah.
Menurutnya, orang ramai dapat mendengar suara mangsa berteriak meminta pertolongan, namun api besar yang marak begitu cepat menghalang orang ramai untuk menyelamatkan mangsa. -Utusan
KONGSI
& Komentar
Tweet