Sunday 16 November 2014

Pendedahan budak perempuan 10 tahun nyaris jadi mangsa culik!

Posted By: TTO Admin - 16.11.14


KOTA BHARU 15 Nov. – “Saya terpaksa berlari sejauh satu kilometer meredah air paras dada di kawasan bendang dan semak bagi menyelamatkan diri daripada penculik.”

Begitulah pengalaman pahit yang terpaksa ditempuhi Irisha Devia, 10, ketika melarikan diri daripada penculik dalam kejadian di Banir Belikung, Pasir Puteh semalam.

Irisha juga terpaksa menahan kesakitan apabila badan, tangan serta kakinya terkena duri ketika melarikan diri di kawasan berkenaan.

Dalam kejadian semalam, Irisha bertindak nekad melarikan diri daripada kereta yang membawanya selepas menjadi mangsa culik di depan rumahnya di Kampung Aril, Melor di sini.

Penjenayah yang menaiki kereta jenis Proton Saga itu bertindak melanggar mangsa dari belakang ketika dia sedang menunggang basikal bersama seorang lagi rakannya.

Menceritakan detik tersebut, Irisha berkata, sewaktu diculik pada pukul 3.30 petang, dia sedang menunggang basikal bersama rakannya berhampiran rumah mereka.

Katanya, secara tiba-tiba sebuah kereta telah melanggar mereka sehingga terjatuh sebelum seorang lelaki keluar daripada kenderaan berkenaan.

“Lelaki itu berpura-pura bertanya kepada saya mengenai kecederaan yang dialami akibat daripada kemalangan itu sebelum bertindak menarik saya masuk ke dalam kereta.

“Saya kemudiannya menjerit. Lelaki itu menyuruh saya diam. Dia kemudian memandu kereta dengan sebelah lagi tangannya mengepit tubuh saya. Saya hanya fikir untuk menyelamatkan diri ketika itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Tambah Irisha, ketika sampai di Pasir Puteh, kereta penjenayah itu tersekat di dalam tanah berlumpur di sebatang jalan di kawasan berkenaan.

Katanya, ekoran itu, penjenayah terbabit telah menghubungi rakannya untuk membantu menolak kereta tersebut.

“Apabila kawannya datang, dia menyuruh saya menyorok dalam semak dan tidak melarikan diri. Saya bagaimanapun mengambil kesempatan itu untuk melarikan diri.

“Saya berlari sekuat hati dan mengharung bendang dan akhirnya saya sampai di sebuah rumah dan meminta bantuan daripada seorang wanita. Wanita itu kemudian membawa saya ke Balai Polis Selising,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Sementara itu, bapa mangsa, Surendharan Kumar, 49, melahirkan rasa syukur kerana anaknya terselamat daripada menjadi mangsa penculikan tersebut.

“Saya bersyukur kerana anak saya dijumpai semula. Anak saya boleh dikatakan bernasib baik. Tidak tahu apalah yang berlaku jika dia menjadi mangsa penculik itu.

“Saya berharap supaya kejadian ini tidak berulang lagi kepada anak saya atau anak-anak yang lain,” katanya. -Utusan

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab