Friday 1 November 2013

Tambahbaik semua Skim Perkhidmatan Awam, bukan terhad kepada 81

Posted By: TTO Admin - 1.11.13

SHAH ALAM - Cuepacs mahu penambahbaikan skim perkhidmatan kakitangan awam tidak terhad kepada 81 skim sebaliknya meliputi kesemua lebih 200 skim.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, penambahbaikan skim perkhidmatan awam perlu dibuat secara menyeluruh bagi mengelak produktiviti dalam kalangan 1.3 juta penjawat awam terjejas jika 81 skim sahaja ditambah baik.

"Kita berharap bukan untuk 81 skim sahaja, kita ada lebih 200 skim.

Kita mahu sebelum 31 Disember ini, kalau boleh semua skim dapat penyelesaian,” katanya semasa melawat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Padang Jawa hari ini.

Sebelum ini, beliau berkata kesatuan sekerja yang terlibat dalam penguatkuasaan seperti JPJ, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta pihak berkuasa tempatan mengemukakan memorandum penambahbaikan skim perkhidmatan masing-masing kepada kerajaan.

Begitu juga dengan kumpulan pentadbiran sistem maklumat dan kewangan serta kumpulan pengurusan dan profesional, katanya.

Omar berkata, Cuepacs akan mendengar taklimat Jabatan Perkhidmatan Awam di Putrajaya esok berkaitan skim yang akan ditambah baik dan pihaknya dijangka membangkitkan keperluan penambahbaikan kepada semua skim.

Beliau juga berkata, gred gaji permulaan bagi anggota penguatkuasa masih rendah iaitu kira-kira RM800 sebulan berbanding gaji minimum yang ditetapkan kerajaan sebanyak RM900 sebulan. - Bernama

KONGSI

& Komentar

Disclaimer TTO Media

Copyright © 2013 Tengok TV Online™ is a registered trademark.

Designed by Templateism. Powered By Blogger | Published By Pro Templates Lab